Indonesia akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah atau work from home (WFH) untuk penjawat awam satu hari seminggu bermula 1 April, bertujuan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, dasar itu mewajibkan penjawat awam di pentadbiran pusat dan daerah bekerja dari rumah setiap hari Jumaat, sebagai sebahagian daripada transformasi budaya kerja nasional lapa perkara untuk memupuk amalan yang lebih cekap, produktif dan berpandukan digital.
Beliau berkata, langkah itu dijangka menjimatkan secara langsung kira-kira Rp6.2 trilion bagi bayaran pampasan bahan api, sambil mengurangkan perbelanjaan bahan api awam sehingga Rp59 trilion melalui pengurangan mobiliti.
“Kerajaan mengambil langkah adaptif dan pencegahan untuk bertindak balas terhadap dinamika global sambil memastikan rakyat kekal tenang dan produktif, kerana ekonomi negara tetap stabil dengan asas kukuh,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Bagi sektor swasta, Airlangga berkata, pelaksanaan WFH akan dipandu melalui pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Kerja, mengambil kira keperluan khusus setiap industri sambil mempromosikan amalan penjimatan tenaga.

Foto: Reuters
Beliau menambah beberapa sektor akan dikecualikan dan terus beroperasi di tempat kerja, termasuk perkhidmatan awam penting seperti kesihatan, keselamatan dan kebersihan, serta sektor strategik seperti tenaga, bekalan makanan, pengangkutan, logistik dan kewangan.
Selain dasar WFH, kerajaan akan mengurangkan penggunaan kenderaan rasmi sehingga 50 peratus dan mengekang perjalanan rasmi, mengurangkan perjalanan domestik sehingga 50 peratus dan perjalanan ke luar negara sehingga 70 peratus, sambil menumpukan semula keutamaan perbelanjaan.
“Pemotongan belanjawan dibuat daripada perbelanjaan kurang keutamaan seperti perjalanan rasmi, mesyuarat, perbelanjaan bukan operasi dan aktiviti rasmi, dan dialihkan kepada perbelanjaan yang lebih produktif yang memberi impak terus kepada rakyat, termasuk rehabilitasi dan pemulihan bencana di Sumatera.
“Kerajaan terus menggalakkan percepatan dan penajaman perbelanjaan kementerian dan agensi melalui pengoptimuman belanjawan. Potensi penetapan keutamaan dan penumpuan semula belanjawan kementerian dan agensi adalah antara Rp121.2 trilion hingga Rp130.2 trilion,” ujarnya.

Foto: ANTARA
Sementara itu, Airlangga menegaskan sekolah akan terus menjalankan pembelajaran bersemuka lima hari seminggu, manakala institusi pengajian tinggi akan mengamalkan dasar fleksibel untuk pelajar senior selaras dengan garis panduan kementerian.
Bagi meningkatkan kemandirian dan kecekapan tenaga, Airlangga berkata kerajaan akan melaksanakan dasar B50 mulai 1 Julai 2026, yang boleh mengurangkan penggunaan bahan api fosil sebanyak empat juta kiloliter dan menjimatkan subsidi dianggarkan sebanyak Rp48 trilion.
Beliau menambah, pembelian bahan api akan diatur melalui sistem MyPertamina menggunakan kod bar, dengan had 50 liter setiap kenderaan kecuali untuk pengangkutan awam.
Sumber: Bernama







































