Global Sumud Flotilla (GSF) mengumumkan pelancaran flotila kemanusiaan terbesar dalam sejarah ke Gaza, yang dijadualkan berlepas pada 29 Mac dari pelbagai pelabuhan di seluruh kawasan Mediterranean, melibatkan lebih 100 buah negara.
Menurut kenyataan rasmi Sumud Nusantara, flotila ini akan menghimpunkan lebih 1,000 peserta termasuk doktor, jururawat, petugas kesihatan, pendidik, jurutera, pasukan pembinaan semula, serta penyiasat jenayah perang dan jenayah terhadap ekosistem.
“Ia bergerak dalam satu usaha kolektif dan tanpa kekerasan terhadap genosid, kepungan, kebuluran besar-besaran, serta pemusnahan kehidupan orang awam di Gaza,” kata kenyataan itu hari ini.
Global Sumud Flotilla Kembali Berlayar
Menurut hantaran itu, pengumuman berkenaan dibuat di Yayasan Nelson Mandela di Johannesburg, semalam.
Misi ini adalah kesinambungan warisan solidariti global serta perjuangan sivil tanpa kekerasan.
Kenyataan itu juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama membela mereka yang dizalimi.
Artikel lain: 20,000 Rakyat Malaysia Tunjuk Sokongan, Daftar Sertai Global Sumud Flotilla
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan MADANI dijangka turut terlibat secara langsung dalam misi GSF 2.0, yang bakal menyaksikan penyertaan lebih 80 negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, berkata misi kali ini dirancang lebih besar dan inklusif, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk selebriti, merentas agama dan bangsa.
“Mereka ingin penyertaan yang lebih inklusif merangkumi pelbagai agama, bangsa, selebriti dan pelbagai kategori lapisan masyarakat,” katanya.
Flotila kemanusiaan ini dijangka menjadi salah satu usaha global terbesar untuk menyokong rakyat Palestin, dengan fokus pada bantuan kemanusiaan, pembinaan semula infrastruktur, serta dokumentasi kesan jenayah perang, sambil mengekalkan prinsip keamanan dan tanpa kekerasan.
Sumber: FB Sumud Nusantara Official










































