Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan tindakan sitaan terhadap penjaja air balang di sekitar Dataran Merdeka pada Sabtu lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan tindakan tersebut dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Adalah diingatkan bahawa Dataran Merdeka merupakan kawasan larangan menjaja bagi menjaga imej, kebersihan serta nilai warisan kawasan ini yang menjadi kebanggaan warga kota dan pelancong.
“DBKL ingin mengingatkan para pengunjung agar tidak membeli daripada penjaja haram serta bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan menghargai keindahan persekitaran,” menurut kenyataan itu.
Dataran Merdeka Kawasan Larangan Berniaga
Menurut DBKL, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan sejahtera untuk dikunjungi.
“Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan anda,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan gerai-gerai di kaki lima berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad pada waktu malam mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai.
Orang awam mendakwa pemandangan ikon bersejarah itu seolah-olah ‘terganggu’ susulan deretan gerai makanan dan minuman yang beroperasi di hadapan bangunan berkenaan.
Menerusi satu hantaran tular di media sosial, seorang individu turut memuat naik suasana kawasan tersebut yang memperlihatkan penjaja beroperasi di lokasi berkenaan.
Difahamkan, harga minuman yang dijual mencecah RM7 secawan, dipercayai dipengaruhi faktor lokasi tumpuan serta permintaan tinggi di kawasan berkenaan.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































