Tular sejak Isnin, satu rakaman video memaparkan sekumpulan individu berarak kejut sahur sambil memukul tong yang dijadikan gendang dan berselawat mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Perarakan kejut sahur diketuai warga Indonesia?
Difahamkan, perarakan tersebut berlaku di sebuah penempatan di Balakong, Selangor dan didakwa diketuai serta disertai warga Indonesia.
Budaya kejut sahur tak wajar dikembangkan
Susulan itu, Ahli Majlis Fatwa Perlis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle menerusi perkongsian di Facebook tampil memberikan pandangan berhubung amalan berkenaan.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) menegaskan budaya seperti itu tidak wajar dikembangkan di Malaysia.
“Saya harapkan budaya seperti ini tidak dikembangkan dan tidak perlu diteruskan kerana di dalam negara kita ini bukan semua orang dianjurkan untuk bersahur,” jelasnya.
Menurut beliau, bukan semua individu perlu bangun bersahur termasuk wanita yang sedang uzur atau dalam tempoh nifas, selain bayi dan anak kecil yang memerlukan waktu tidur mencukupi.
“Kalau lakukan perkara ini, kita mengganggu mereka. Bahkan dalam negara kita ada orang bukan agama Islam yang mungkin akan benci kepada Islam sedangkan agama kita tidak menyuruh perkara ini dilakukan.
“Saya tak ada masalah jika kita azan lebih daripada sekali untuk mengejut orang sahur di waktu pagi. Azan pertama sebelum masuk waktu Subuh dan azan kedua tu berlaku pada waktu Subuh,” katanya lagi.
Artikel lain: Mek Yun Luah Gembira, Berjaya Puasa Ramadan Pertama Bersama Keluarga
Dalam pada itu, beliau turut memetik pandangan ulama terdahulu, Ibn al-Jawzi yang mengkritik amalan membaca al-Quran di menara tinggi pada waktu malam kerana dibimbangi boleh mengganggu orang sedang tidur.
Terdahulu, tular di media sosial sekumpulan individu memukul gendang dan berarak sambil berselawat bagi tujuan kejut sahur kawasan setempat.
Pelbagai reaksi diterima yang rata-rata kurang senang dengan budaya dari negara seberang kerana dilihat menganggu ketenteraman orang awam terutamanya mereka yang tidak menjalani ibadah puasa.
Sumber: Facebook Dr Rozaimi Ramle







































