Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan peranan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi meningkatkan advokasi kepenggunaan dalam masyarakat.
Foto: Facebook KPDN Laman Rasmi
Menerusi satu kenyataan, menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN melantik GPS sebagai rakan strategik dalam inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) melalui rangka kerjasama KITA yang melibatkan Kerajaan, Industri, Tatakelola dan Awam.
GPS turut diberi peranan penting sebagai pemegang taruh dalam usaha menangani isu kos sara hidup negara dengan penglibatan GPS yang akan diperluas melalui penambahbaikan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang sedia ada.
Foto: Facebook KPDN Laman Rasmi
Kerajaan telah meningkatkan peruntukan inisiatif Payung Rahmah sebanyak RM100 juta menjadi RM300 juta dalam Belanjawan 2025, dengan fokus kepada penambahbaikan PJRM dari segi kaedah, mekanisme dan perluasan kumpulan sasar.
GPS kini diberi mandat untuk mencadangkan mekanisme pelaksanaan PJRM@Kampus yang akan memfokuskan kepada keperluan golongan mahasiswa dan dijangka bermula awal tahun hadapan.
Foto: Facebook KPDN Laman Rasmi
Sehingga 18 November lalu, sebanyak 9,786 program PJRM telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara dengan penyertaan 9,306,217 pengunjung, merangkumi 3,815 PJRM diadakan melalui kaedah secaraa dalam premis, 612 luar premis dan 5,359 secara bergerak.