Hasrat sepasang tunang untuk membina rumah tangga tidak kesampaian apabila lelaki bernama Jeremy Mah Ci Wei Bin Abdullah, 26, yang baru sahaja memeluk agama Islam sembilan hari sebelumnya, ditemui tidak bernyawa di dalam keretanya berhampiran kawasan tempat kerja, pada 19 Julai lalu.
Jeremy, seorang mualaf berketurunan Cina, baru sahaja mengucapkan syahadah pada 10 Julai. Namun, belum sempat merasai manisnya hidup sebagai seorang Muslim, beliau pergi meninggalkan semua yang tersayang hanya sembilan hari kemudian.
Menurut perkongsian tunangnya di Instagram, @tee.liew, Jeremy dijadualkan bekerja syif malam bermula jam 1.00 pagi hingga 9.00 pagi.
Kebiasaannya sekitar jam 5.00 hingga 6.00 pagi, iaitu waktu rehatnya, dia akan sempat membalas mesej atau membuat panggilan. Namun pada hari kejadian, Jeremy langsung tidak memberi sebarang respon.
Artikel lain: Baru Dua Minggu Masuk PULAPOL, Pelatih Wanita Dijemput Ilahi Ketika Bersiap Solat Subuh
Rasa gelisah semakin menebal apabila Jeremy juga tidak pulang selepas tamat kerja. Perkara itu amat luar biasa kerana arwah biasanya akan terus pulang selepas syif.
Dalam usaha mencari kepastian, tunangnya membuka WhatsApp Web untuk menjejaki keberadaan Jeremy. Dari situ, dia membaca mesej antara Jeremy dan bosnya.
“Jam 1.00 pagi Jeremy mesej bos dia, cakap dah sampai tempat kerja.
“Tapi jam 5.00 pagi, team leader pula tanya kenapa awak tak masuk kerja. Saya pelik, sebab jam 12.30 pagi dia dah keluar rumah. Ke mana dia sebenarnya pergi?” kata tunangnya.
Difahamkan, sebelum itu Jeremy ada menghantar nota suara kepada ketuanya memaklumkan keretanya rosak berhampiran tempat kerja dan ada orang datang membantu. Namun selepas itu, tiada lagi khabar daripadanya.
Sehinggalah wanita itu menjejaki lokasi terakhir telefon Jeremy. Sesampai di kereta, jantungnya seakan terhenti melihat insan tersayang terbujur kaku di kerusi penumpang hadapan dengan enjin serta penghawa dingin masih terpasang.
“Saya nampak dia terbaring di seat passenger. Kalau tidur, mestilah dia akan pilih seat driver sebab itu kereta dia. Pintu tak berkunci, saya cuba kejut… panggil nama dia, tapi dia langsung tak bergerak.
“Masa tu baru saya perasan kedua-dua tangannya lebam dari siku sampai ke buku lima,” ceritanya sebak.
Menurut pihak medik, Jeremy dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lapan jam sebelum ditemui.
Pihak hospital telah melakukan posmortem dan mendapati semua organ dalaman mangsa berada dalam keadaan baik serta arwah tidak mempunyai sebarang penyakit.
Hospital juga merancang untuk melakukan posmortem kedua, tetapi sejak 19 Julai sehingga kini, masih tiada sebarang perkembangan yang diumumkan.
Jenazah Jeremy kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah pada 20 Julai lalu.
Pemergian Jeremy bukan sahaja meruntun hati seorang tunang yang kehilangan cinta hidupnya, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang mengenalinya.
Dalam tempoh singkat selepas bergelar Muslim, dia pergi dengan membawa nama Islam di penghujung hayatnya, meninggalkan kenangan dan lambaian kasih yang terlalu cepat berakhir.
Sumber: Instagram @tee.liew
