Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) berpandangan keperluan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2026 adalah satu perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian.
OCC dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu selari dengan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta menyokong penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Tingkatkan akauntabiliti platform digital
Menurut OCC, pengawalseliaan berkenaan mampu memastikan platform digital yang mempunyai jumlah pengguna besar di Malaysia memikul tanggungjawab lebih jelas dalam menjamin keselamatan kanak-kanak yang semakin aktif berinteraksi, belajar dan bersosial di ruang digital.
“Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak untuk dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam ruang digital.
“Perlindungan ini termaktub di bawah Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC, yang mewajibkan Kerajaan sebagai Negara Pihak untuk mengambil langkah proaktif dan pencegahan bagi menangani potensi risiko terhadap kanak-kanak.
“Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan tanggungjawab kesemua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi,” kata OCC dalam kenyataan itu.
Sehubungan itu, platform digital perlu memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya atau menjejaskan kesejahteraan mereka.
Artikel lain: KPWKM Sokong Langkah MCMC Perkukuh Keselamatan Digital Kanak-Kanak
Lindungi kanak-kanak bukan pilihan

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki
Dalam pada itu, pihaknya sentiasa menyokong usaha MCMC untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka.
“Melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, ia adalah kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia,” ujarnya lagi.







































