Proses tatatertib terhadap seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) telah selesai baru-baru ini.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias, berkata pihak Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA telah bersidang pada 9 Mac lalu bagi meneliti kes tersebut.
“Berdasarkan tindakan tatatertib, penuntut itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu diharapkan menjadi pengajaran kepada seluruh warga universiti, sama ada pelajar atau staf, supaya lebih berhati-hati dalam semua perbuatan atau tindakan agar tidak mencemar nama baik institusi.
“UMPSA bertegas tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini,” tambah beliau.
Artikel lain: Kes Pijak Al-Quran: Mualaf? Tiada Rekod Pengislaman Di Pahang – MUIP
Sebelum ini, pada 3 Mac, pelajar terbabit telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lalu.
Bagaimanapun, S. Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Sumber: BH Online (Asrol Awang)









































