“Saya melihat sendiri suami ditembak 18 das depan mata saya,” luah Wan Fatihah Mat Hussin, 35, isteri Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut dalam insiden tembakan di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand, pada Sabtu.
Wan Fatihah kini sedang hamil anak sulung hasil perkahwinannya dengan arwah.
Dalam nada sebak, beliau menceritakan detik cemas ketika arwah suaminya rebah selepas diserang.
Suspek Adalah Sepupu Isteri Arwah
Menurut Wan Fatihah, kejadian berlaku kira-kira jam 6.40 petang waktu Thailand ketika arwah sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka.
“Dua suspek datang dari arah belakang dan menembak suami menggunakan masing-masing dua pistol. Tembakan demi tembakan dilepaskan. Saya berlari ke arahnya dan sempat memeluk selepas dia rebah.
“Selepas itu, kedua-dua lelaki berkenaan masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru sebelum mereka berjalan pergi. Saya menjerit meminta tolong orang sekeliling,” katanya.
Jumlah tembakan yang dilepaskan mengena pada beberapa bahagian tubuh arwah termasuk leher dan disahkan 18 das selepas bedah siasat. Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Ahli keluarga mangsa, Ahmad, 55, memaklumkan bahawa dua lelaki yang dipercayai terlibat adalah abang dan adik kandung serta sepupu kepada Wan Fatihah.
“Sehingga kini, kami belum mengetahui perkembangan terkini sama ada kedua-duanya sudah berjaya ditangkap polis atau belum,” katanya.
Artikel lain: Insiden Golok: Rakyat Malaysia Meninggal Dunia Terkena Lapan Das, Tak Sempat Timang Anak Sulung
Jenazah Allahyarham Mohd Fuad Fahmie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra pada jam 2.30 petang Ahad, dengan kehadiran ahli keluarga termasuk ibu mangsa, Zaiton Abdul Rahman, 64, yang menerima berita kematian anaknya daripada menantu, Wan Fatihah, kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)












































