Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab secara tidak langsung terhadap kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat, dan mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM3 juta kepada isterinya, Noorhayati Mohd Ariffin.
Polis diarah siasat semula kes kehilangan Amri
Menurut laporan Malaysiakini, Hakim Su Tiang Joo yang mengambil masa hampir dua jam membacakan penghakimannya turut memerintahkan polis membuka semula siasatan berhubung kehilangan Amri bermula hari ini, selain perlu melaporkan perkembangan siasatan itu kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
“Saya mendapati wujud kekurangan usaha untuk memastikan keluarga Amri dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan. Malah, pengelasan kes kehilangan Amri juga tidak tepat kerana sepatutnya dikategorikan sebagai penculikan, bukannya orang hilang,” katanya.
Artikel lain: Lelaki Menang Saman RM7.4 Juta, Cacat Kekal Akibat Kecuaian Hospital Dan Doktor
Hakim berkata, Noorhayati berjayaa membuktikan tuntutannya berdasarkan imbangan kebarangkalian dan menegaskan bahawa kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya telah melanggar hak hidup plaintif seperti dijamin di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Foto: Sinar Harian
Selain arah polis buka semula siasatan dan ganti rugi RM3 juta, mahkamah turut menganugerahkan RM250,000 sebagai kos kepada plaintif.
Noorhayati memfailkan saman terhadap kerajaan, polis dan empat lagi defendan pada 18 November 2019 bagi menuntut ganti rugi teruk dan teladan atas kerugian yang dialaminya susulan kehilangan suaminya pada tahun 2016.
Pada awalnya, saman itu difailkan terhadap 21 defendan, namun mahkamah dimaklumkan bahawa plaintif telah menggugurkan tuntutan terhadap 15 individu termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri dari 16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018.

Foto: Sinar Harian
Amri, yang dilaporkan aktif menyebarkan ajaran Syiah, dilaporkan hilang pada malam 24 November 2016 di Kangar, Perlis dan tidak pernah ditemui sejak itu.
Sumber: Malaysiakini (Farah Solhi)







































