Tiga individu sekeluarga disyaki menjadi dalang dalam kegiatan monopoli tender pembekalan susu tepung kepada sebuah jabatan kerajaan sejak lebih dua dekad lalu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka terdiri daripada pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat, serta anak mereka yang memegang jawatan sebagai pengarah syarikat pembekal susu berkenaan.

Foto: msn
Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur dalam satu operasi khas dikenali sebagai Op White yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK), dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Hasil siasatan awal mendapati syarikat milik keluarga ini telah membekalkan susu tepung bernilai kira-kira RM120 juta kepada sebuah jabatan kerajaan, walaupun produk itu tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan dan standard SIRIM.
“Mereka dipercayai telah monopolikan tender pembekalan tersebut sejak tahun 2000, dan kontrak yang diperoleh antara 2021 hingga 2024 melibatkan agihan ke seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.
Tambah Azam, kontrak baharu bagi tempoh 2024 hingga 2027 pula hanya melibatkan dua zon, iaitu Zon Selatan dan Zon Pantai Timur.

Foto: Carian Google
Beliau berkata, serbuan dilakukan semalam selepas risikan selama tiga bulan, dengan pihak berkuasa turut merampas pelbagai dokumen penting berkaitan kontrak pembekalan susu berkenaan.
“Semua premis yang diserbu disyaki menyimpan dokumen berkaitan urus niaga dan kontrak pembekalan sejak 2019. Siasatan turut mendapati produk yang dibekalkan gagal mematuhi standard keselamatan makanan yang ditetapkan,” ujarnya.
Seorang lagi anak pasangan terbabit yang kini berada di luar daerah atas urusan kerja telah diarahkan pulang untuk membantu siasatan.
Artikel lain: SPRM Siasat Tiga Dalang Kartel Bekal Susu Tepung Bernilai RM120 Juta
Dalam operasi itu, SPRM turut membekukan 75 akaun bank membabitkan 24 akaun individu dan 51 akaun syarikat, dengan jumlah keseluruhan dana bernilai RM69 juta.

Foto: Buletin TV3
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, dan turut melibatkan siasatan lanjut di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sumber: Harian Metro (Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil)
