Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia akibat keracunan methadone di Sungai Ramal Baru, Kajang dalam kejadian pada Rabu dikatakan sempat menulis sepucuk surat luahan buat rakan-rakannya.
Menerusi ruangan komen di aplikasi TikTok, seorang individu @sirloinbb yang mengaku sebagai bapa saudara mangsa berkongsi bahawa arwah sebelum itu sempat menunjukkan beberapa petanda yang meruntun jiwa rakan-rakannya.
Menurut @sirloinbb, perkara tersebut berlaku sehari sebelum kejadian, ketika arwah masih sempat bermain bersama rakan-rakan seperti biasa.
“Dengar cerita menyayat hati daripada kawan-kawan arwah tadi. Dia selalu belanja kawan-kawannya. Dia buat surat, ucap terima kasih sebab menjadi kawan aku selama ini. Lepas tu dia cakap dia akan meninggal dulu daripada kawan-kawannya.
“Dia baru buat surat dan cakap perkara tu semalam (kelmarin) waktu dia main dengan kawan-kawan. Seolah-olah dia tahu dia akan pergi.
“Semoga pemergiannya dicucuri rahmat Allah dan disucikan daripada segala dosa. Dia akan menunggu ibu bapanya nanti di pintu syurga, insya-Allah,” kata @sirloinbb.
Dalam nota berkenaan, mangsa meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang baik, selain memohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan berharap agar persahabatan mereka berkekalan selamanya.
Advertisement. Scroll to continue reading.
“Untuk sahabatku, terima kasih sebab dah jadi sahabat aku. Aku bersyukur sangat dapat sahabat macam korang. Maafkan aku kalau pernah mencarut atau terkasar bahasa dengan korang.
“Aku minta maaf sangat-sangat. Semoga kita jadi sahabat selama-lamanya, ya. Jangan berpisah,” tulis arwah.
Sementara itu, seorang lagi individu @itsfaizzz26 juga mengaku sebagai bapa saudara mangsa memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, ibu mangsa tidak mempunyai sebarang niat jahat dan kejadian itu berlaku secara tidak sengaja apabila tersalah memberikan ubat kepada anaknya.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa mengalami batuk, manakala botol ubat batuk dan botol yang mengandungi methadone berkenaan mempunyai bentuk serta saiz kandungan yang hampir sama, sekali gus menyebabkan kekeliruan.
“Kepada semua, saya adik kepada ibu kepada anak yang meninggal dunia ini. Kakak saya tidak sengaja memberi ubat tersebut. Dia tersalah beri ubat.
“Memang tidak sengaja, sebab anak buah saya batuk-batuk dan botol ubat batuk dengan ubat itu bentuknya sama serta jumlah kandungannya pun sama,” jelas @itsfaizzz26 pada salah satu hantaran di TikTok @buletintv3.
@itsfaizzz26 turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau berunsur fitnah tanpa mengetahui keadaan sebenar, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan keluarga mereka.
Advertisement. Scroll to continue reading.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala dua adiknya kini masih menerima rawatan di ICU selepas dipercayai diberikan minuman mengandungi cecair berbahaya dipercayai methadone oleh ibu mereka.
Kejadian itu terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dikejarkan ke Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) sekitar pukul 7.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ibu kepada tiga kanak-kanak itu telah ditahan polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif wanita terbabit bertindak sedemikian dan bagaimana bekalan ubat terkawal itu diperoleh.
Sumber: TikTok @sirloinbb & @buletintv3
Advertisement. Scroll to continue reading.