Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merentasi negeri Pahang kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan kemajuan melebihi 86.03 peratus setakat Mei lalu.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah turun padang meninjau kemajuan projek mega tersebut di Stesen KotaSAS baru-baru ini.

Foto: Malaysia Gazette
Menurut beliau, ECRL yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak merupakan antara pemacu utama perubahan dalam sistem pengangkutan awam negara.
Projek ini bakal menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang melalui rangkaian rel moden dan efisien sepanjang 665 kilometer.
“Setakat Mei 2025, kemajuan keseluruhan ECRL telah mencapai 83.38 peratus. Bagi laluan di negeri Pahang pula, kemajuannya telah melepasi 86.03 peratus,” katanya.
Seiring dengan pembangunan ECRL, Kerajaan Negeri Pahang turut merangka pelan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar kawasan setiap stesen, dalam radius 15 kilometer.
Artikel lain: Polis Sahkan Terima 22 Laporan Kes Kecurian Di Tapak ECRL
Langkah ini bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan secara mampan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat.
Tambah beliau, laluan ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan akan menjadi pemangkin utama kepada peningkatan kedudukan Pahang, khususnya Kuantan, sebagai hab pelaburan strategik di negara ini.
“Projek ini akan memberi limpahan ekonomi yang besar kepada rakyat menerusi tujuh buah stesen yang dibina sepanjang 258 kilometer dari Cherating ke Bentong,” ujarnya.

Foto: malaymail
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Rail Link (MRL) atas kerjasama erat dan komitmen tinggi dalam menjayakan projek berimpak besar ini.
“Saya berharap pembinaan ECRL dapat disiapkan mengikut jadual, iaitu pada penghujung tahun 2026, demi manfaat seluruh rakyat dan negara,” jelasnya.
Sumber: Malaysia Gazette (Syahira Yahya)
