Komitmen negara-negara anggota ASEAN dalam memperkukuh kerjasama tenaga serantau diteruskan menerusi penganjuran Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) kali ke-43 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun 2025 di Kuching, Sarawak.
Mesyuarat merangkumi penilaian terhadap kemajuan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC)
Mesyuarat ini dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha PETRA, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, selaku Pengerusi ASEAN SOME 2025.

Foto: FB Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
Mesyuarat tersebut menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari semua negara anggota ASEAN, manakala wakil dari Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.
Sebagai platform utama membincangkan dasar dan arah strategik sektor tenaga serantau, mesyuarat ini menumpukan perhatian kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif penting dalam usaha memperkukuh sistem tenaga ASEAN yang lebih mampan, selamat dan inklusif.
Artikel lain: ASEAN Dan EU Perkukuh Kerjasama Sektor Pendidikan Tinggi Dan Jaringan Akademik
Antara perkara utama yang dibincangkan adalah perkembangan terkini pelaksanaan projek sambung tara merentas sempadan di bawah inisiatif ASEAN Power Grid (APG), yang merupakan tonggak utama dalam mengukuhkan keterhubungan tenaga dan kerjasama antara negara-negara anggota.
Selain itu, perbincangan turut merangkumi penilaian terhadap kemajuan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa II 2021–2025 serta perancangan awal penyediaan dokumen APAEC baharu bagi tempoh 2026–2030.

Foto: FB Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
Dalam usaha membangunkan pasaran tenaga serantau yang lebih terbuka dan saling terhubung, kemajuan Projek Integrasi Tenaga Lao PDR–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) turut diberi perhatian, sekali gus membuka ruang kepada perdagangan tenaga pelbagai hala yang lebih berkesan dan mampan.
Mesyuarat ini turut menyentuh aspek-aspek penting berkaitan dasar peralihan tenaga di rantau ini, termasuk usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan tenaga, meneroka potensi tenaga nuklear serta menyelaraskan dasar-dasar tenaga antara negara anggota.
Semua ini adalah selaras dengan komitmen ASEAN dalam menyokong agenda pembangunan mampan sejagat.
Selain itu, mesyuarat juga memberi ruang kepada negara-negara anggota untuk mengambil maklum tentang perkembangan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN, sekali gus memperkukuh lagi perpaduan dan kerjasama serantau.

Foto: FB Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
Turut dibincangkan ialah persiapan awal bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025.
Penganjuran SOME ASEAN ke-43 ini mencerminkan kesungguhan negara-negara anggota dalam membentuk masa depan tenaga rantau yang lebih hijau, berdaya tahan dan inklusif.
Melalui kolaborasi erat dan kesepakatan strategik yang dibina, ASEAN berada di landasan yang kukuh untuk terus memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga serantau demi kesejahteraan bersama.

Foto: FB Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
