Penjaga gol berpengalaman Portugal dari Nantes FC, Anthony Lopes mencuri perhatian apabila dilaporkan sengaja berpura-pura cedera untuk memberi peluang kepada rakan sepasukannya yang beragama Islam berbuka puasa ketika menghadapi Le Havre FC dalam saingan Ligue 1 di di Stade de la Beaujoire, baru-baru ini.
Menurut laporan Harian Metro, insiden berlaku pada minit ke-74 pabila Lopes jatuh sambil memegang paha kiri, menzahirkan kesakitan yang memaksa pasukan perubatan memasuki padang dan menghentikan permainan seketika.
Pada waktu rehat singkat itu, beberapa pemain Muslim Nantes bergerak ke tepi padang untuk minum air dan menikmati kurma bagi berbuka puasa selepas seharian menahan lapar dan dahaga.
Menurut laporan, tindakan Lopes itu memberi ruang kepada rakan sepasukannya menunaikan ibadah tanpa gangguan, walaupun peraturan Ligue 1 tidak membenarkan permainan dihentikan atas alasan keagamaan.
Situasi ini berbeza dengan liga seperti Liga Perdana Inggeris, yang membenarkan pengadil menghentikan permainan seketika semasa waktu berbuka bagi memudahkan pemain Muslim berbuka puasa.
Setelah rakan-rakannya selesai berbuka, Lopes bangkit dan meneruskan perlawanan tanpa menunjukkan sebarang kecederaan serius, menunjukkan solidariti terhadap rakan sepasukannya, satu tindakan yang mendapat pujian dalam kalangan kelab Nantes.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 2-0 buat Nantes, melonjakkan mereka ke tangga ke-17 dengan 17 mata, manakala Le Havre AC kekal di kedudukan ke-13 dengan 26 mata.
Insiden ini sekali lagi menimbulkan perbincangan mengenai pendekatan Ligue 1 terhadap keperluan agama sepanjang Ramadan, sementara liga utama Eropah lain semakin mengamalkan langkah sokongan untuk pemain Muslim yang berpuasa.
Di Liga Perdana Inggeris, contohnya sejak 2021 pengadil membenarkan pemain Muslim mengambil sedikit masa semasa seperti sepakan gol atau lontaran ke dalam untuk minum dan berbuka puasa.
Sumber: Harian Metro (Agensi)







































