Dalam usaha meredakan ketegangan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan India mengadakan mesyuarat pertama bagi mencari titik pendamaian melibatkan isu yang timbul sejak kebelakangan ini.
Memetik laporan daripada Sinar Harian, pertemuan menerusi program Harmoni Madani itu berlangsung hampir empat jam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dilihat sebagai langkah awal ke arah penyelesaian lebih harmoni.
Buka ruang kedua-dua pihak berbincang
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menyatakan dialog tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang secara langsung tanpa pengaruh luar.
“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.
“Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya.
Usaha cari penyelesaian
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar bersama beberapa wakil lain termasuk aktivis dan pempengaruh.
Dalam pada itu, Sivakumar menegaskan kepentingan pertemuan ini dalam mencari penyelesaian secara damai antara kedua-dua komuniti.
“Usaha hari ini adalah untuk mencari satu penyelesaian damai di antara komuniti Melayu dengan komuniti India.
“Ini rundingan pertama di peringkat awal dan kita bersetuju supaya perundingan meja bulat diadakan bagi membatasi isu sensitif seperti isu kaum dan pembinaan tanpa izin,” katanya.

Kredit foto: FB Analisis Finaz Yunus
Artikel lain: Sami Hindu, Aktivis Berbilang Kaum Gotong-Royong Bersihkan Kuil Haram
Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah melibatkan rumah ibadat sebagai langkah jangka panjang.
Tambahnya, semua pihak sebenarnya menginginkan kehidupan yang harmoni dan tidak wajar perpaduan tergugat hanya disebabkan segelintir individu.
“Sebenarnya, kita memang hidup sebagai dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka, kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian







































