Keazaman Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk terus menuntut ilmu meskipun di usia 64 tahun menjadi sumber inspirasi apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Muzium Seni Kontemporari (MOCA), di Kuantan baru-baru ini.
Tunku Azizah siapkan tesis ditemani Sultan Pahang
Perkembangan berkenaan dikongsikan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Kesultanan Pahang.
Kehadiran Al-Sultan Abdullah dilihat sebagai sokongan penuh terhadap Tunku Azizah yang kini sedang menyiapkan tesis Sarjana bertajuk “The Hukum Kanun Pahang: A Sovereign Malay-Islamic Constitution”.
Sejak tahun lalu, Tunku Azizah membahagikan masa antara tugasan rasmi dan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Islamic Thoughts and Civilization di International Institute of Islamic Thought and Civilization, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM).

Foto: Kesultanan Pahang
Momen tersebut cukup bermakna apabila Sultan Pahang berkenan melihat sendiri perkembangan pengajian dan penyelidikan tesis permaisuri baginda, sekali gus mencerminkan budaya sokongan terhadap pendidikan sepanjang hayat dalam Institusi Diraja.
Keberangkatan itu turut menjadi simbol dorongan moral kepada masyarakat bahawa usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu serta menyumbang kepada pembangunan intelektual negara.
Dalam lawatan berkenaan, baginda turut berkenan menyantuni pengunjung MOCA serta meluangkan masa meninjau ruang pameran muzium berkenaan.

Foto: Kesultanan Pahang
Turut berangkat mengiringi ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Artikel lain: Tunku Azizah Catat Sejarah Sampaikan Syarahan Di Universiti Oxford

Foto: Kesultanan Pahang
Difahamkan, Tunku Azizah kembali bergelar mahasiswa di IIUM sejak November 2024.

Foto: Media sosial
Sumber: Facebook Kesultanan Pahang







































