Seramai 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikenal pasti terbabit dalam aktiviti tidak bermoral susulan tularnya gambar dan video di beberapa platform media sosial.
Pandang serius pelanggaran terhadap peraturan
Menerusi kenyataan yang dibuat Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, beliau menyatakan siasatan awal mendapati penglibatan pegawai berkenaan dan TUDM akan memastikan mereka dibicarakan mengikut lunas serta peruntukan perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Perlu ditegaskan, budaya tidak sihat terbabit bukanlah suatu amalan bagi TUDM.
“Pihak TUDM memandang serius sebarang perlanggaran terhadap Perintah, Direktif dan Peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahir rasa kesal atas kejadian
Dalam pada itu, beliau menambah bahawa pucuk pimpinan TUDM turut menzahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu dan mana-mana pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Artikel lain: SPRM Bongkar Kartel Tender Tentera Darat, 17 Pengarah Syarikat Direman
Susulan itu, beliau memaklumkan bahawa tindakan segera ini dilakukan setelah mendapat arahan daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan kesahihan dakwaan budaya tidak wajar dalam kem tentera.
Sumber: Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia








































