Tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara, lapor Kompas.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman, ketika mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di Kompleks Parlimen, Senayan pada Rabu.
Tiga Kampung Di Indonesia Kini Termasuk Wilayah Malaysia
Menurut beliau, perubahan tersebut berkait dengan penyelesaian beberapa Outstanding Boundary Problem (OBP) atau isu sempadan yang sebelum ini belum dimuktamadkan, khususnya melibatkan Pulau Sebatik yang terbahagi kepada dua pentadbiran negara.
“Tiga OBP telah dipersetujui secara rasmi melalui pemeteraian memorandum persefahaman pada Mesyuarat Bersama Indonesia-Malaysia ke-45 yang berlangsung di Pulau Sebatik pada 18 Februari 2025,” kata Makhruzi.
Beliau menjelaskan, perjanjian itu melibatkan titik sempadan B-2700, B-3000 serta kawasan Simantipal, dan hasilnya kira-kira 127 hektar di Pulau Sebatik disahkan kekal berada dalam wilayah Indonesia.
Bagaimanapun, masih terdapat empat segmen OBP di sektor barat Kalimantan Barat yang belum diselesaikan sepenuhnya, iaitu D-400, Gunung Rayan, Sibuan dan Batu Aum, yang kini berada pada peringkat tinjauan lapangan unilateral oleh pasukan teknikal Indonesia serta proses pertukaran maklumat untuk membincangkan terma rujukan (TOR) dan prosedur operasi standard (SOP).
Artikel lain: Banjir Aceh: Rakyat Indonesia Terharu Atas Bantuan Perubatan Malaysia
Dalam perkembangan berkaitan, Makhruzi mengesahkan tiga kampung di kawasan bekas OBP Sinapat dan Kecamatan Lumbis Hulu, Kabupaten Nunukan, sebahagian wilayahnya kini berada di bawah pentadbiran Malaysia.
Kampung berkenaan ialah Kabungalor, Lepaga dan Tetagas.
Tegasnya, Indonesia turut memperoleh tambahan keluasan wilayah hasil pelarasan sempadan berkenaan.
“Secara keseluruhan, Indonesia menerima tambahan kira-kira 5,207 hektar kawasan, sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, yang kini dicadangkan bagi menyokong pembangunan kawasan sempadan, termasuk sebagai kawasan gantian hutan untuk pembinaan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) serta pembangunan Zon Perdagangan Bebas,” katanya.
Isu perubahan sempadan ini dijangka terus mendapat perhatian kedua-dua negara memandangkan ia melibatkan kepentingan kedaulatan, pentadbiran tempatan serta pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan sempadan.
Sumber: Detik.com










































