Perkhidmatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan Amaran Ribut Tropika Senyar susulan pengesanan sistem berbahaya itu yang kini bergerak memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/j.
Ribut Tropika Senyar dikesan pada kedudukan 3.6°U 99.9°T di utara Sumatera dan 102 km ke barat daya Lumut, Perak sebelum bergerak ke arah timur tenggara sehingga membawa potensi hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora bermula 27 November 2025.
Awas Ribut Tropika Senyar
Menurut MET Malaysia, keadaan itu dijangka memberi kesan ketara di negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung Malaysia sepanjang tempoh amaran.
Sehubungan itu, MET Malaysia mengemas kini beberapa amaran meliputi Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November 2025.
Artikel lain: Luruan Monsun Punca Hujan Lebat, Angin Kencang & Ombak Besar – MetMalaysia
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan ribut tropika tersebut dan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa.
“MET Malaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa, ” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Orang ramai dinasihatkan berwaspada serta mengikuti maklumat dan ramalan cuaca terkini melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.
Sumber: FB Malaysian Meteorological Department










































