Putera Arab Saudi, Al-Waleed bin Khalid bin Talal Al Saud, yang dikenali sebagai “Putera Tidur”, dilaporkan mangkat pada usia 36 tahun selepas berada dalam keadaan koma selama hampir dua dekad.
Perkara itu dimaklumkan oleh bapanya, Putera Khalid bin Talal, menerusi satu hantaran di platform X (dahulunya Twitter) pada Sabtu.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai,” tulisnya.
“Dengan hati yang reda terhadap ketentuan Allah dan penuh kesedihan, kami mengumumkan kemangkatan anakanda kami tercinta, Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal bin Abdulaziz Al Saud. Semoga Allah merahmatinya,” katanya lagi.
Menurut Putera Khalid, solat jenazah akan diadakan hari ini, manakala majlis tahlil dan ziarah takziah akan berlangsung selama tiga hari sehingga Selasa.
Putera Al-Waleed mengalami kemalangan jalan raya ketika menuntut di sebuah kolej ketenteraan pada tahun 2005, menyebabkan beliau koma sejak usia 16 tahun.
Putera Tidur Arab Saudi Mangkat
Keadaannya tidak menunjukkan perubahan ketara meskipun menerima pelbagai rawatan intensif daripada pakar perubatan dalam dan luar negara, termasuk Amerika Syarikat dan Sepanyol.
Sepanjang tempoh itu, keluarga diraja Arab Saudi tidak pernah berputus asa, malah Putera Khalid sering berkongsi gambar anakandanya di media sosial bagi menunjukkan beliau terus diberi perhatian dan kasih sayang.
Pada 2019, video dimuat naik oleh Puteri Rima binti Talal menunjukkan Al-Waleed menggerakkan kepala, sekali gus memberi harapan baharu kepada keluarganya.
“Yang Maha Penyayang… Al-Waleed bin Khalid menggerakkan kepalanya. Segala puji bagiMu, ya Tuhan,” tulisnya.
Tahun ini, nama Al-Waleed kembali menjadi perhatian selepas Puteri Rima memuat naik satu lagi foto beserta kapsyen doa yang menyentuh hati.
“Wahai kekandaku tercinta, Al-Waleed bin Khalid, 21 tahun dan kamu sentiasa hadir dalam hati kami serta doa orang yang menyayangimu.
“Ya Allah, sembuhkanlah hambaMu ini. Hanya Engkau mengetahui kelemahannya, wahai Tuhan langit dan bumi,”tulisnya lagi.
Artikel lain: Kalau Semua Jemaah Dunia Macam Malaysia, Saya Boleh Tidur Dengan Tenang – Menteri Haji & Umrah Arab Saudi
Beberapa bulan lalu, Putera Khalid memaklumkan bahawa doktor mengesan bengkak pada kelenjar anakandanya, yang membawa kepada ujian lanjut.
Pada 2020, selepas 15 tahun koma, Al-Waleed sekali lagi mencetuskan harapan apabila beliau dilihat menggerakkan tangan dalam satu rakaman video.
Sepanjang 20 tahun, Al-Waleed bukan hanya dikenali sebagai “Putera Tidur”, tetapi menjadi simbol ketabahan keluarga diraja dan kepercayaan rakyat Arab Saudi terhadap kuasa doa dan keajaiban.
Sumber: X allah_cure_dede
