Kehadiran ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pagi tadi menarik perhatian ramai ketika prosiding permohonan pihak berkepentingan bagi inkues kematian anaknya berlangsung.
Menurut laporan Harian Metro, Noraidah tiba sekitar jam 8.50 pagi dengan ditemani pasukan guaman serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Foto: Harian Metro
Beliau kelihatan tenang sepanjang perjalanan masuk ke mahkamah, malah sempat menjawab salam media yang menunggu sejak awal pagi.
Sebelum melangkah ke dewan bicara, beliau sempat berhenti seketika dan menghadiahkan senyuman tanpa menunjukkan riak sugul.
Artikel lain: Kes Zara Qairina: Peguam Rayu Saksi Tampil Bantu Siasatan -“Itu Permintaan Khas Kami”
Suasana sama kekal sebaik prosiding selesai, apabila Noraidah terus tenang mendengar sidang media yang diadakan peguam keluarga, Shahlan Jufri, di perkarangan mahkamah.
Menurut Shahlan, pihak keluarga bersemangat meneruskan prosiding selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan yang dikemukakan pihak pembelaan.
“Ibu Zara bersemangat, ini memang hari yang dinantikan keluarga sejak awal. Mereka mahu inkues ini diteruskan.
Dengan keputusan mahkamah menolak penangguhan, saya percaya beliau gembira kerana prosiding boleh berjalan seperti dirancang,” katanya.

Foto: BH
Beliau menambah, ketenangan Noraidah hari ini mencerminkan kekuatan keluarga untuk melihat inkues berjalan lancar demi mendapatkan kebenaran.
Sebelum ini, Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran inkues kematian Zara Qairina berlangsung pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September, serta 22 hingga 30 September depan.
Sumber: Harian Metro (Juwan Riduan)
