Penulis Zabidi Mohamed mendakwa filem La Luna ada unsur penghinaan Islam selepas kini ditayangkan di platform Netflix.
Filem La Luna Ada Unsur Penghinaan Islam
Filem arahan M Raihan Halim itu memaparkan lakonan individu agamawan menggunakan kuasa dan wang ringgit dalam usaha mengusir seorang gadis dari sebuah kampung.
Menurut Zabidi, beliau tidak menafikan bahawa terdapat golongan agamawan Islam dan asatizah yang terlibat dalam salah laku sivil dan jenayah.
“Tetapi untuk mengambarkan konflik pertembungan pemikiran antara golongan agamawan dan golongan fahaman liberal adalah niat nyata penerbit dan pengarahnya untuk meremeh-remeh, memperleceh, memperolok, memperlekeh dan merendah-rendahkan agama Islam,” tulisnya.
Beliau mendakwa, golongan liberal dalam industri filem tempatan akan menggambarkan watak utama yang mewakili pemikiran liberal manakala watak antoganist sebagai konservatif, ‘old school’ dan berpemikiran jumud.
Artikel lain: Ustaz Azhar Idrus Tiada Tauliah Mengajar Agama Islam Di Selangor – Pengarah JAIS
“Itu polar penceritaan skrip mereka. Cuma pemikiran liberal itu disuntik secara halus dalam subtext. Yang menonton tanpa menilai dan mengukur dari sudut pandang (POV) Islam tidak akan dapat mengesannya.
“Dengan menonton kita boleh ‘baca’ corak atau polar bagaimana puak-puak liberal dalam industri filem tanahair ini secara halus menghina agama Islam dan menghina bangsa Melayu,” dakwanya.
Sementara itu, Zabidi memaklumkan beliau telah mengkaji kira-kira 18 filem tempatan yang mengandungi elemen penghinaan ke atas agama Islam sejak 2013 hingga Disember 2023.
“Ianya sudah makin dinormalisasikan. Puak-puak liberal dalam filem tanah air makin berani dan makin rancak.
“Untuk tanggungjawab pada agama Islam kita kena menunjukkan sikap dan menyatakan pendirian. Agama yang paling diredhai Allah adalah Islam,” katanya.
Filem komedi Singapura – Malaysia itu mengisahkan tentang kehadiran Hanie lakonan Sharifah Amani ke Kampung Bras Basah dan membuka kedai pakaian dalam.
Selain Sharifah Amani, La Luna turut dibintangi oleh Shaheizy Sam, Wan Hanafi Su, Iedil Dzuhrie Alaudin, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron dan ramai lagi.
Sumber: Facebook Zabidi Mohamed