Anakanda Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bakal bernikah Januari tahun hadapan.
Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah tamatkan zaman bujang
Memetik laporan dari Radio Televisyen Brunei, baginda akan disatukan dengan wanita pilihannya yang dikenali sebagai Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Adam pada 11 Januari nanti.
Difahamkan, Istiadat Perkahwinan Diraja itu bakal berlangsung beberapa hari, dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024 dan diikuti Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari.
Ia diikuti dengan Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja pada 9 Januari sebelum diteruskan lagi dengan Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pada keesokan harinya.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja bakal berlangsung pada 11 Januari dan Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja pula bakal dilangsungkan pada 14 Januari.
Diikuti Majlis Persantapan Diraja 15 Januari dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari 2024.
Untuk rekod, Putera Abdul Mateen telah diputerakan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan, Brunei pada 10 Ogos 1991.
Sumber: Radio Televisyen Brunei