Syarikat bimbingan emosi wanita, eHati International Sdn Bhd menafikan semua dakwaan yang mengaitkan program anjurannya dengan penyebaran ajaran menyimpang, amalan bercanggah dengan Islam serta unsur yang meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Pengasas bersama eHati, Diyana Tahir dan Rahim Shukor berkata beberapa posting tular sejak 2 Julai lalu melalui akaun Facebook bernama Masyitah Ashari mengandungi pelbagai tuduhan tidak tepat yang boleh menimbulkan fitnah terhadap mereka dan syarikat.
“Kami adalah pengamal bertauliah dalam bidang hipnoterapi dan setiap program eHati dibangunkan secara teliti agar mematuhi standard etika profesional serta selari dengan nilai budaya dan agama masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan media.
Pengasas eHati Nafi Ajar Ajaran Sesat
Jelasnya, eHati menawarkan program yang membantu wanita tanpa mengira bangsa dan agama untuk mencapai ketenangan, membina keyakinan diri serta memulihkan trauma.
Pendekatan yang digunakan melibatkan kaedah seperti Neuro-Linguistic Programming, hipnoterapi, psikoterapi dan teknik pengurusan emosi.
Antara teknik yang diperkenalkan termasuk latihan pernafasan, senaman pelepasan trauma dan sesi hipnoterapi yang bertujuan membantu peserta mencapai kesejahteraan emosi dan mental.
“Kami tidak pernah menggalakkan peserta kami untuk tidak berkahwin dan tidak bersuami.
“Kami sentiasa menekankan pendekatan yang seimbang dengan niat untuk membantu peserta memperbaiki hubungan, bukan menjauhkan diri dari perkahwinan.
“Objektif kami tetap sama iaitu untuk membantu wanita mencapai ketenangan, sayangi diri sendiri dan seterusnya dapat memulihkan hubungan suami isteri yang goyah agar institusi kekeluargaan mereka kembali utuh,” katanya lagi.
Mengulas tuduhan bahawa eHati mengajar teknik urutan berunsur falsafah Tantra, mereka menjelaskan bahawa kaedah yang diajar adalah adaptasi daripada gabungan urutan lantai pelvis dan urutan Thai yang diolah agar bersesuaian dengan nilai tempatan.
“Kaedah ini tidak melibatkan unsur atau ritual agama lain dan ia juga adalah modul pilihan yang tidak diwajibkan kepada peserta,” katanya.
Dakwaan berkaitan minuman Piya yang kononnya mengandungi bahan terlarang juga dinafikan sepenuhnya.
Jelasnya, ia hanyalah campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi yang dirumus untuk membantu menenangkan fikiran dan tubuh badan.
Menyentuh gambar tular ketika program retreat di Bali, mereka menjelaskan bahawa gambar tersebut memaparkan peserta sedang menjalani sesi latihan pernafasan. Hiasan bunga yang terdapat dalam gambar disediakan oleh pihak hotel dan bukan sebahagian daripada sebarang ritual.
Lelaki yang kelihatan dalam gambar pula merupakan seorang pakar kesihatan yang dijemput sebagai penceramah dan bukan individu yang terlibat dalam ajaran agama tertentu.
Pada November 2022, pihak eHati telah hadir memberikan keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor berhubung salah satu program yang dianjurkan. Dalam sesi tersebut, mereka telah menjelaskan tujuan program dan jenis aktiviti yang dijalankan.
Setelah penjelasan diberikan, pihak berkuasa memahami dan membenarkan program diteruskan dengan syarat satu penafian secara bertulis disertakan untuk makluman peserta.
“Kami menegaskan bahawa kami telah menerima cadangan pihak JAIS dengan hati yang terbuka dan telah menyertakan penafian untuk memastikan para peserta memahami objektif program eHati dengan jelas supaya setiap penyertaan adalah bersesuaian dengan objektif program,” katanya.
Mereka turut menyatakan kekesalan terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menurut mereka dikeluarkan tanpa sebarang siasatan rasmi.
“Kenyataan media yang dikeluarkan hanyalah berpandukan posting yang telah tular yang tidak dapat dikenalpasti pemilik sebenar akaun tersebut,” katanya.
Mereka memetik Surah al-Hujurat ayat 6 yang mengingatkan agar setiap berita disiasat terlebih dahulu sebelum diambil sebagai asas untuk menghukum.
Menurut eHati, sehingga kini tiada sebarang aduan pernah diterima daripada peserta program dan tiada siasatan rasmi dijalankan terhadap syarikat atau pengasasnya.
“Kami percaya bahawa program-program anjuran eHati telah memberikan impak yang positif dan mendalam kepada ramai wanita di Malaysia,” katanya.
Mereka turut memaklumkan bahawa penyebaran tuduhan tidak berasas ini memberi kesan besar kepada keluarga, termasuk tekanan emosi yang menimpa ibu kepada Diyana Tahir sehingga menjejaskan kesihatan dan membawa kepada pemergian beliau semalam.
“Waktu-waktu terakhir kami bersama beliau telah terganggu dengan pelbagai urusan yang timbul akibat penyebaran maklumat tidak berasas ini termasuk ketika proses pengebumian,” katanya.
Artikel lain: Individu Dakwa Program eHati Ada Upacara Syirik, Peserta Wanita Diminta Tanggal Pakaian
Laporan polis telah dibuat pada 12 Julai bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pihak-pihak terlibat, selain laporan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Kami dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, tidak berasas dan berniat jahat terhadap eHati,” katanya.
Menurut mereka, tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menjejaskan reputasi syarikat malah telah memberi tekanan emosi yang mendalam kepada keluarga.
Sumber: FB EHATI
