Seorang wanita didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah membenarkan anak bawah umur memandu kereta jenis Honda Jazz sehingga mengakibatkan kemalangan yang meragut tiga nyawa di Senawang, tahun lalu.
Mengaku bersalah benarkan anak pandu Honda Jazz
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Farahidayah A Rahman, 41, pada Jumaat selepas wanita berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan di mahkamah. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya denda tersebut gagal dibayar.
Mengikut pertuduhan, Nur Farahidayah sebagai pemilik kenderaan jenis Honda Jazz didakwa membenarkan seorang kanak-kanak memandu kenderaan tersebut tanpa lesen memandu yang sah. Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights pada 6 Mac 2025.
Ibu remaja pandu Honda Jazz mohon maaf
Difahamkan, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam bela, Johan Radzi memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan mengambil kira keadaan tertuduh yang merupakan ibu tunggal serta menanggung enam orang anak, termasuk empat yang masih bersekolah.
“Pengakuan salah OKS telah menjimatkan masa mahkamah dan ini merupakan kesalahan pertamanya. Dia juga memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum memandangkan kes berkenaan melibatkan kematian tiga individu.
“Sewajarnya OKS sebagai seorang ibu perlu memastikan anaknya tidak memandu kenderaan,”katanya.
Artikel lain: Langgar Tiga Nyawa Terkorban, Pemandu Honda Jazz Tukar Pengakuan Kepada Bersalah
Sebelum ini, media melaporkan sebuah Honda Jazz yang dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum melanggar dua motosikal.
Dalam kejadian itu, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar pada 10 Mac tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)







































