Seorang lelaki berusia 38 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 170.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), Tangkak petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.07 petang.

Foto: Video tular
Menurut beliau, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Suzuki DL650XA berwarna biru dan seorang pegawai polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tersebut terlanggar seorang pegawai polis yang sedang menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal dan pegawai polis terbabit mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Foto: Video tular
Bagaimanapun, penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.
Mereka yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Mohd Azmil Azwa Amir Azwa di talian 019-3058346 bagi membantu siasatan.
Sumber: Facebook Polis Daerah Tangkak







































