Sebuah restoran popular tampil memohon maaf secara terbuka berhubung insiden Jalur Gemilang terbalik di premis mereka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Insiden Jalur Gemilang terbalik lagi
Menurut pihak pengurusan restoran itu, kejadian tersebut berlaku lewat malam pada Ahad lalu apabila seorang kakitangan sedang memasang bendera berkenaan namun akibat kecuaian, ia tidak disedari telah dipasang dalam keadaan terbalik.
Pihak pengurusan restoran berkata, mereka segera mengambil tindakan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara itu pada keesokkan harinya, Isnin jam 11 pagi.
“Kami amat kesal dengan insiden ini dan dengan penuh rasa tanggungjawab, kami ingin memohon maaf kepada orang ramai,” tulis pihak pengurusan dalam satu kenyataan pada Selasa.

Foto: IG
Jalur Gemilang terbalik tidak disengajakan
Tambah mereka lagi, bendera yang digantung terbalik itu disedari oleh orang awam sebelum tular di media sosial, sekali gus membuatkan pihak restoran segera menurunkan bendera tersebut bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.
“Kami sentiasa menekankan penghormatan terhadap simbol negara. Setiap tahun ketika Bulan Kebangsaan, kami dengan bangga mengibarkan Jalur Gemilang.
“Kesilapan kali ini tidak disengajakan, namun kami sedar ia menimbulkan kekeliruan dan keresahan awam. Kami benar-benar kesal dengan kesilapan besar ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, restoran berkenaan memberi jaminan akan memperketatkan pemantauan serta prosedur pelaksanaan, selain meningkatkan tahap kepekaan kakitangan agar insiden sama tidak berulang.
“Kami berazam untuk memastikan simbol negara sentiasa dihormati dan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Kami dengan ini memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat serta berjanji untuk terus menjunjung maruah negara,” ujar pihak pengurusan restoran itu.
Semalam, media melaporkan polis membuka kertas siasatan susulan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan di Bukit Bintang.
Artikel lain: Jalur Gemilang Dipasang Terbalik Di Klinik, Empat Pekerja Disiasat Polis
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada tengah hari Isnin.

Foto: Carian Google
“Pemilik premis dan pekerja yang memasang bendera Malaysia terbabit sudah dirakam percakapan dan siasatan masih berjalan, dalam proses untuk dilengkapkan,” kata Nuzulan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Foto: Media sosial
Terdahulu, seorang pengguna laman Facebook memuat naik video memaparkan insiden digantung secara terbalik di premis terbabit sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Sumber: Instagram
