Kerajaan yakin Projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan kedua-dua negara komited untuk menjayakan projek kerjasama yang bernilai berbilion ringgit itu dengan perbincangan antara kedua-dua pihak turut diadakan secara berkala.
Ujarnya lagi, proses pembinaan RTS Link yang menghubungkan antara Malaysia dan Singapura itu sudah 68 peratus siap.
RTS Link beroperasi 1 Januari 2027
Artikel lain: KPKT Berjaya Laksana 5,196 Projek Pembangunan Rakyat Sepanjang Tahun Ini
“Tahap kemajuan pembinaan jejambat daratan (terrestrial viaduct) sebanyak 31 peratus, tahap kemajuan pembinaan stesen pada 41 peratus serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pula sebanyak 3.22 peratus.
“Ya, kita yakin 100 peratus projek ini berjalan dengan lancar dan akan dapat mula operasi pada 1 Januari 2027. Perkembangan projek mengikut jadual dan kita amat komited untuk menjayakannya.
“Tahniah kepada kedua-dua pasukan dari Malaysia dan Singapura yang telah bekerjasama dengan baik dan bersungguh-sungguh memastikan projek ini berjalan mengikut jadual ditetapkan. Saya sendiri menunggu tarikh itu (1 Januari 2027),” katanya.
Bukan itu sahaja, kadar tambang RTS Link itu akan dimaklumkan kemudian apbila projek tersebut menghampiri tarikh siap.
“Kadar tambang akan ditetapkan pihak bertanggungjawab dan akan dimaklumkan sebelum RTS Link siap dan beroperasi. Pastinya harga tambang kompetitif dan menarik bagi memastikan pengguna kedua-dua negara dapat menikmati perjalanan rentas sempadan yang selesa.
“Paling utama, RTS Link ini akan memendekkan masa perjalanan rentas sempadan, khususnya apabila pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara dilakukan di satu lokasi yang sama. Itu merupakan komponen paling utama dalam projek ini,” jelasnya.
Sementara itu, kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima sebarang cadangan atau penambahbaikan berkaitan perhubungan antara Malaysia dan Singapura termasuk perkhidmatan feri.
Sumber: Utusan Malaysia (Mohd Khairul Mohd Ali)