FELCRA Berhad mengumumkan Agihan Akhir Keuntungan Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berjumlah RM302.9 juta, melibatkan 71,680 peserta di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa agihan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan agihan keuntungan FELCRA bagi tahun 2025 sebanyak RM632.7 juta, merangkumi agihan interim, bulanan dan agihan akhir kepada para peserta.
“Pencapaian ini amat membanggakan apabila prestasi kewangan tahun 2025 menjadi yang kedua terbaik dalam sejarah 60 tahun penubuhan FELCRA sejak 1966.
“Kejayaan ini dicapai semasa FELCRA menyambut Jubli Intan (60 tahun), mencerminkan kematangan organisasi serta keupayaan berterusan FELCRA dalam memperkasa ekonomi luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang berlangsung di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid.
Sementara itu, FELCRA Berhad menerusi satu kenyataan berkata, pengumuman itu juga memberikan khabar gembira menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus membantu peserta membuat persiapan menyambut hari lebaran bersama keluarga.
“Prestasi kukuh ini didorong oleh peningkatan harga komoditi serta pengukuhan produktiviti ladang, khususnya sektor kelapa sawit. Purata harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit meningkat daripada RM4,182.27 pada 2024 kepada RM4,283.33 pada 2025, iaitu kenaikan 2.42 peratus.
“Selain itu, harga BTS keseluruhan turut meningkat daripada RM794 kepada RM850 satu tan, manakala produktiviti ladang menunjukkan peningkatan apabila hasil per hektar meningkat daripada 17.02 tan metrik kepada 18.15 tan metrik sehektar, bersamaan pertumbuhan 6.6 peratus.
“Pendapatan kasar per hektar juga meningkat daripada RM13,280 kepada RM15,039, manakala keuntungan bersih per hektar melonjak daripada RM4,462 kepada RM5,893, iaitu peningkatan signifikan sebanyak 32.1 peratus,” kata FELCRA Berhad menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata, pencapaian itu hasil daripada dedikasi dan usaha berterusan seluruh warga FELCRA dalam mengekalkan kecekapan operasi serta memperkukuh disiplin tadbir urus.
“Asas pengurusan yang kukuh, pemantauan kos yang berdisiplin serta fokus terhadap peningkatan produktiviti membolehkan FELCRA menjana pulangan yang mampan kepada para peserta walaupun berdepan cabaran pasaran komoditi,” ujarnya.
Pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan FELCRA dalam memperkasa komuniti luar bandar serta meningkatkan taraf hidup para peserta.







































