Bank Islam Malaysia (Bank Islam) menandatangani perjanjian pembiayaan berjumlah RM91.5 juta dengan Sand Town Solar Sdn Bhd (STS), hari ini.
Bank Islam biaya RM91.5 juta untuk projek solar
Pembiayaan berjumlah RM91.5 juta tersebut adalah tanda sokongan kepada usaha peralihan tenaga hijau di Malaysia untuk projek solar fotovolta solar (PV) di Perak.
STS yang merupakan anak syarikat Kumpulan Gading Kencana Sdn Bhd (GKSB) adalah sebuah syarikat perkhidmatan tenaga boleh baharu termasuk dalam rekaan dan pemasangan sistem fotovolta solar, pemasangan dan penyelenggaraan sistem elektrik dan sistem pengurusan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata STS adalah syarikat tujuan khas (SPV) untuk projek ladang PV solar 29.99 megawatt (MW) di Bidor, Perak.
Ia membekalkan tenaga elektrik yang dijana kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah Skim Susunan Penghantaran Baharu Yang Dipertingkatkan (NEDA).
NEDA adalah inisiatif Suruhanjaya Tenaga untuk meningkatkan kecekapan dalam persaingan penjanaan elektrik jangka pendek dan menurunkan harga elektrik.
“Bank Islam amat berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada usaha yang seiring dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan memacu pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu (RE).
“Pembiayaan ini akan menyokong usaha peralihan tenaga Malaysia, daripada penjanaan tenaga berasaskan bahan bakar fosil dan arang batu kepada sumber RE seperti tenaga solar.
“Usaha ini juga akan mendorong penggunaan penyelesaian yang bersifat mesra alam dan menyumbang kepada ekonomi yang lebih sejahtera dan berdaya saing,”katanya.
Tambahnya lagi, Bank Islam juga sentiasa terbuka untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama dengan penggiat industri dalam merealisasikan matlamat sifar bersih karbon negara menjelang tahun 2050 yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sikap terbuka dalam bekerjasama ini adalah demi masa depan mampan bagi semua pihak bagi mnecapai matlamat menjelang tahun 2050.
Majlis menandatangani perjanjian pembiayaan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menerusi perjanjian tersebut, Bank Islam menjadi insitusi perbankan Islam pertama yang menyediakan kemudahan pembiayaan untuk syarikat persendirian di bawah NEDA.
“Strategi perniagaan Bank Islam meletakkan sasaran sebanyak RM4 billion untuk aset Syariah-Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Syariah-ESG) pada tahun 2025.
“Matlamat ini dicapai dua tahun lebih awal dengan jumlah aset Syariah-ESG Bank Islam mencecah RM4.5 bilion pada akhir tahun 2023,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan GKSB, Datuk Dr Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng, berkata NEDA berperanan membantu mewujudkan satu ekosistem pasaran tenaga elektrik lebih kompetitif untuk Malaysia terutamanya pada masa depan.
“Menerusi NEDA, jaminan yang disediakan oleh bank agak longgar namun mereka juga mengambil risiko kerana perlu mengambil langkah kawalan bagi memastikan hasil jualan tenaga dijual dan dibayar ke akaun pemilik projek tanpa perlu melalui TNB.
“Potensi tenaga boleh baharu di negara kita sangat besar terutamanya yang berasaskan solar termasuk untuk dieksport dan untuk meneroka potensi ini amat memerlukan sokongan daripada industri perbankan untuk pembiayaan,” katanya.
Ujarnya, perjanjian kemudahan pembiayaan yang dimeterai ini bukan sahaja mencerminkan hubungan baik antara GKSB dan Bank Islam yang terjalin sejak 2019, tetapi juga keteguhan sokongan institusi kewangan Islam terhadap sektor tenaga bersih negara.
Artikel lain: TH Travel-Bank Islam Jalin Kerjasama, Tawar Pembiayaan Tunai Umrah & Haji Patuh Syariah