Pelakon dan pengarah tersohor Hong Kong, Jackie Chan meluahkan keterujaan dan kerinduan yang terbuku di hati apabila memaklumkan dirinya bakal kembali ke Malaysia selepas 30 tahun.
Menurut laporan Sin Chew Daily, selebriti berusia 68 tahun sudah merancang untuk datang ke Malaysia sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19, namun terpaksa membatalkan perancangan tersebut.
Jelasnya, dia perlu melunaskan ‘hutang’ menyelesaikan beberapa penggambaran yang perlu diutamakan pada ketika itu.
Chan sewaktu ditemu bual media berkata, dia sangat merindui Malaysia dan tahu peminat sangat menanti akan kehadirannya selepas kali terakhir
“Saya sangat merindui Malaysia dan saya tahu rakyat Malaysia menanti kehadiran saya,”ujarnya yang menerima anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk dari Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tahun 2015.
Katanya lagi, dia bakal datang menjalani penggambaran di Malaysia sekiranya tiada aral melintang.
“Terdapat skrip yang menyatakan akan menjalani penggambaran di Malaysia dan kami sudah menjumpai lokasi bersesuaian.
“Jika tiada apa-apa rintangan, saya akan datang ke Malaysia pada tahun hadapan (2024) untuk menjalani penggambaran,”ujarnya.
Dikesempatan itu, pelakon filem Rush Hour berseloroh dengan mengatakan kehadirannya di Malaysia pada kali ini tidak akan melakukan sebarang kemusnahan terutama membakar bangunan dalam naskah baharunya.
“Kedatangan saya ke Malaysia pada kali ini bukanlah untuk meletupkan bangunan tinggi, jambatan atau terbang.
“Ia adalah naskah bergenre romantik, eh tidak, ia adalah drama,”selorohnya.
Chan berkata demikian sewaktu ditemui bual media Malaysia di Beijing sewaktu tayangan perdana filem terbaharu berjudul Ride On yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 13 April ini.
Sekadar info, Chan pernah datang menjalani penggambaran di Malaysia bagi sebuah filem Police Story 3: Super Cop pada tahun 1992 dan memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi pilihan.
Turut membintangi filem berkenaan adalah selebriti tersohor Michael Yeoh.
Sumber: Sin Chew Daily