Larangan pemasangan khemah awam di pantai Port Dickson (PD), bukan bertujuan menyekat keseronokan pengunjung, tetapi untuk mencegah isu khemah biru daripada berulang.
Cegah isu khemah biru berulang
Foto: Berita Harian
Menurut laporan Sinar Harian, Exco Pembangunan Kerajatan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, jika tidak dikawal bermula daripada sekarang, dibimbangi PD akan terus dihantui dengan isu khemah.
“Kalau kita tak kawal dari sekarang, nanti isu khemah biru di pantai PD akan berulang semula dan yang akan dipersalahkan ialah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini kerana sebelum ini ramai pengunjung menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan kehadiran khemah di situ yang menutup pemandangan dan disebabkan itulah kita tidak benarkan sebarang khemah didirikan,” katanya pada Isnin.
Walau bagaimanapun, pengunjung masih dibenarkan menggunakan tikar atau kanvas untuk aktiviti berkelah dan mandi-manda di pantai.
Dia turut menegaskan bahawa kemudahan tandas awam telah disediakan dan ditambah baik untuk keselesaan pengunjung menukar pakaian.
“Jadi bagi saya tiada timbul isu nak tukar pakaian atau nak simpan barang menyebabkan pengunjung perlu bawa khemah kerana ada kemudahan tandas awam disediakan,” ujarnya.
Foto: Berita Harian
Arul Kumar turut membangkitkan kebimbangan tentang isu kebersihan yang mungkin timbul sekiranya khemah didirikan tanpa kawalan.
“Memanglah pantai ini tempat awam, tapi menjadi tanggungjawab PBT iaitu Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk menjaganya,” jelasnya.
Bagi pengunjung yang ingin mendirikan khemah, mereka boleh berbuat demikian di lokasi khas yang telah disediakan.
Artikel lain: Titah Adendum: Jabatan Peguam Negara Fail Larangan Bersuara
Menanggapi gesaan warganet untuk memboikot pantai PD, dia menyatakan sesiapa pun berhak memberi pandangan, namun berdasarkan pemerhatiannya, destinasi peranginan tersebut masih sesak dengan pengunjung setiap hujung minggu, terutamanya pada musim cuti persekolahan.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)