Dua kilang pemprosesan kicap dan sos cili yang sudah beroperasi lebih 120 tahun di Pulau Pinang diarah tutup selama 14 hari selepas didapati tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Memetik laporan Berita Harian, kedua-dua kilang tersebut pernah diberi notis penutupan sehingga tujuh kali dalam tempoh 10 tahun sebelum ini.
Dua kilang kicap dan sos diarah tutup
Foto: Harian Metro
Ketika pemeriksaan pertama di kilang di Jalan Patani, pihak berkuasa menemui kacang soya diperap di dalam bakul dan diletakkan di atas lantai di hadapan tandas dan bilik air.
Selain itu, lantai premis pula didapati berlumut dan menjijikkan, manakala najis tikus ditemukan di stor penyimpanan bahan mentah dan rak barangan.
Di rak simpanan sos cili pula ditemukan perangkap tikus, selain persekitaran yang tidak memuaskan.
Foto: Berita Harian
Lebih mengejutkan, notis penutupan terbaru dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kepada kedua-dua kilang kicap dan sos berusia lebih 120 tahun itu bukan kali pertama, sebaliknya pernah diberi arahan sama sebanyak tujuh kali dalam tempoh 10 tahun ini.
Sementara itu dalam pemeriksaan kedua di kilang Jalan CY Choy, pihak berkuasa menemukan najis tikus berhampiran rak pemprosesan sos cili.
Foto: Buletin TV3
Pekerja lelaki didapat tidak memakai baju ketika bertugas, malah lokasi perapan kicap dan sos cili juga berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Pemilik premis yang berusia 60-an dan enggan dikenali memerihalkan bahawa kicap, sos cili, dan cuka yang diproses secara tradisional itu dipasarkan sekitar Pulau Pinang dan sering dijadikan ole-ole oleh pengunjung.
Foto: MalaysiaGazette
Artikel lain: Habhal’s Bakal Saman Individu, Tuduh Kilang Kicap Kotor Ada Najis Tikus
Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Zulhairel Mat Yusoff berkata, persekitaran kedua-dua premis tidak memuaskan malah pernah beberapa kali diberi notis penutupan atas kesalahan sama.
“Kita dapati persekitaran kedua-dua premis tidak memuaskan, malah kilang kicap ini sudah beberapa kali diberi notis penutupan atas kesalahan sama.
“Kali ini, kita lihat bahan mentah di kedua-dua premis diletakkan di atas lantai yang kotor, selain penggunaan bekas gentian bagi perapan juga dikhuatiri reput dan tidak sesuai digunakan,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian (Zuhainy Zulkiffli)