Lima lelaki termasuk empat pelajar direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes langgar maut seorang pelajar Tingkatan Lima di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala Batu Maung, Bayan Lepas awal pagi semalam.
Memetik laporan Berita Harian, perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Chia Huey Ting bermula hari ini hingga Sabtu bagi membolehkan polis menyiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kes pelajar Tingkatan Lima maut
Foto: Berita Harian
Empat suspek yang semuanya berusia 16 tahun bersama seorang lagi berumur 21 tahun itu, tiba di pekarangan mahkamah di Balik Pulau jam 8.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, semakan mendapati suspek yang melanggar mangsa dan seorang lagi berusia 21 tahun tiada lesen motosikal.
“Suspek berusia 16 tahun yang melanggar mangsa, menyerah diri di balai polis semalam manakala empat lagi ditahan susulan soal siasat.
“Soal siasat awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa kemalangan itu,” katanya hari ini.
Foto: MalaysiaGazette
Artikel lain: Kes Pelajar Maut Di Sabah: KPM Sedia Beri Kerjasama, Tidak Kompromi Salah Laku Buli
Pelajar Tingkatan Lima maut, cedera parah
Terdahulu, seorang remaja berusia 17 tahun maut selepas dilanggar dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, jam 4.30 pagi semalam.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah Georgetown menghala ke Batu Maung itu disyaki terbabit dengan aktiviti rempit.