Pelakon dari China, Wang Xing yang dilaporkan hilang minggu lalu berhampiran sempadan Thailand-Myanmar minggu lepas dan selamat ditemui, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, menurut Polis Diraja Thailand.
Memetik laporan Bangkok Post, Wang Xing hilang di wilayah Tak, bersempadan Myawaddy di Myanmar, sebuah kawasan yang terkenal dengan kegiatan jenayah berskala besar dan pemerdagangan manusia oleh kumpulan jenayah terancang.
Pelakon China hilang di sempadan Thailand-Myanmar selamat ditemui
Ketua Polis Diraja Thai, Thatchai Pitaneelaboot berkata siasatan awal mendapati Wang Xing, atau lebih dikenali sebagai Xing Xing berkemungkinan dipaksa melakukan aktiviti berkaitan sindiket penipuan.
Menurutnya, aktor itu telah datang ke Thailand selepas diberitahu bahawa terdapat sesi uji bakat untuk sebuah filem sedang berlangsung namun sebaik tiba di negara itu, Xing Xing telah dibawa melintasi sempadan.
Kata Thatchai lagi, aktor itu dilatih untuk menipu rakyat China yang lain, disamping turut memaklumkan bahawa pelakon itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Xing Xing berkongsi dia telah diperdaya oleh individu dengan kewarganegaraan China yang mendakwa dirinya sebagai wakil dari sebuah syarikat hiburan terkenal di Thailand dan menawarkan kerja kepadanya menerusi aplikasi WeChat.
Katanya, suspek telah menghantar sebuah kereta untuk menjemput Xing Xing di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 3 Januari dan membawanya ke bandar sempadan Mae Sot di wilayah Tak.
Selepas itu, seorang individu kemudian telah membawanya ke Myanmar menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Moei tanpa melalui pos kawalan imigresen.
Artikel lain: Nahas Jeju Air: Anjing Setia Tunggu Kepulangan Tuan
Pada ketika itulah Xing Xing menyedari dirinya telah ditipu namun aktor itu tidak berani untuk melawan individu tersebut.
Sementara itu, Thatchai berkata siasatan menyeluruh sudah dilancarkan dan pihak berkuasa mengesyaki insiden itu adalah sebahagian daripada rangkaian pemerdangan manusia yang lebih luas.
Menurut laporan terkini, Xing Xing telah pun meninggalkan Myanmar dan selamat sampai ke Bangkok, Thailand.
Menerusi satu video tular Xing Xing, pelakon tersebut menegaskan Thailand adalah sebuah negara yang selamat dan dia pastinya akan kembali semula ke negara itu.
Sumber: Bangkok Post