Seramai tujuh orang individu dan dua wakil daripada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikurniakan sijil penghargaan khas daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, sijil tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan atas tindakan dan bantuan menyelamat empat nelayan warga Indonesia yang hanyut dan terapung di perairan Pulau Jarak, Perak pada 20 November lalu.
Foto: Sinar Harian
“Keberanian dan tindakan pantas yang dihulurkan telah berjaya menyelamatkan nyawa mangsa yang dalam kecemasan.
“Malah dengan tindakan tersebut juga dapat mengurangkan bilangan kes kehilangan nyawa di laut,” katanya Maritim Malaysia dalam satu kenyataan.
Individu-individu tersebut adalah Afiq Sazali, Luqman Al Hakim Mohd Sabri, Mohamad Khushairi Mohamad Zuki, Muhammad Afif Abdul Rahman, Syed Fernarsh Syed Badlishah, Muhammad Syukri Yuhanda dan Ismail Ibrahim.
Dua pihak TLDM yang menerima sijil penghargaan khas Maritim Malaysia adalah daripada Stesen Jarak TLDM dan KD Mahamiru.
Foto: Harian Metro
Menurut Maritim Malaysia, sumbangan dalam memberi bantuan awal terhadap sebarang insiden kecemasan di laut merupakan satu contoh teladan baik kepada seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, ia jelas mempamerkan semangat tolong-menolong dan saling membantu tanpa mengira latar belakang mangsa.
Foto: Utusan Malaysia
Terdahulu, kumpulan pemancing tempatan ternampak kesemua mangsa sedang melambai-lambai ke arah mereka untuk meminta pertolongan.
Ekoran itu, mereka yang sedang memancing dengan segera membawa bot yang dinaiki mendekati keempat-empat individu itu.
Difahamkan, bot yang dinaiki keempat-empat nelayan warga Indonesia itu karam selepas dilanggar sebuah kapal di sekitar perairan negara jiran itu.
Lebih mengejutkan, keempat-empat warga negara jiran itu sudah berada di laut selama empat hari tanpa makan dan minum.
Sumber: Sinar Harian (Mohamad Hisyamuddin Ayub)