Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan salinan al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Korea kepada Presiden Persekutuan Muslim Korea (KMF) sebagai usaha memperluas penyebaran ajaran Islam di kalangan komuniti antarabangsa.
Memetik laporan Harian Metro, sumbangan tersebut disampaikan dalam satu pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 30 minit dengan pemimpin KMF yang diketuai oleh presidennya, Hussein Kim Dong Eok dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan hari ini.
Foto: Harian Metro
KMF merupakan sebuah badan rasmi yang diiktiraf sebagai badan induk untuk mewakili masyarakat Islam di Korea Selatan.
Sumbangan tersebut juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengeratkan hubungan dua hala antara negara ini dengan Korea, terutama dalam aspek pendidikan dan keagamaan.
Al-Quran terjemahan ini diharapkan dapat digunakan oleh Persekutuan Muslim Korea dalam usaha mereka untuk menyebarkan pemahaman Islam yang lebih mendalam kepada komuniti Muslim di negara tersebut.
Foto: Instagram @anwaribrahim_my
Dengan langkah ini, Anwar berharap dapat meningkatkan hubungan antarabangsa dan memperkukuh persefahaman antara bangsa melalui pendidikan dan kefahaman agama yang lebih inklusif.
Beliau yang juga Menteri Kewangan ketika ini berada di Korea Selatan dalam lawatan rasmi pertama ke republik ini atas jemputan Presiden Yoon Suk Yeol.
Sumber: Harian Metro (Syarifah Dayana Syed Bakri)