Persidangan dan Pameran Inovasi Air Kebangsaan (NWICE) 2024 yang berlangsung selama tiga hari memberi fokus kepada pembangunan dan transformasi prasarana industri air serta pembetungan negara.
NWICE 2024 fokus pembangunan dan transformasi prasarana industri air
NWICE 2024 dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) bersama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Persatuan Teknologi Trenchless Malaysia (MATT).
Menerusi satu kenyataan, PETRA berkata fokus tersebut merangkumi tiga sub-tema utama iaitu Lonjakan dan Evolusi Prasarana Pembetungan Negara, Menerajui Keterjaminan Air – Mendepani Perubahan Iklim dan Teknologi Tanpa Korekan, Inovasi Hijau.
“Persidangan itu membabitkan penyertaan lebih 420 delegasi, 69 pembentangan kertas kerja dan 42 pempamer dari pelbagai sektor dari dalam dan luar negara,” katanya hari ini.
Bertemakan ‘Transformasi Air Menuju Kemampanan Sejagat’, NWICE 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini hingga 28 November 2024.
Artikel lain: Permohonan Kuota Program NEM Dibuka Semula – PETRA
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyempurnakan majlis perasmian di lokasi sama, hari ini.
Sementara itu, PETRA memaklumkan NWICE 2024 menyediakan platform perkongsian ilmu, pengetahuan serta maklumat semasa berkaitan dengan penyelidikan, pembangunan dan infrastruktur sektor air dan pembetungan negara.
Ia menjadi salah satu medium interaksi dan jaringan komuniti penyelidikan air, pembetungan dan persekitarannya sekali gus mempamer hasil produk inovasi yang telah dibangunkan untuk potensi komersialisasi di pasaran industri.