Pelukis mural dari Lithuania, Ernest Zacharevic yang terkenal dengan lukisan di George Town, Penang luah kecewa apabila syarikat penerbangan AirAsia guna lukisan ikoniknya, Children on Bicycle, pada badan pesawat mereka tanpa kebenaran daripadanya.
Menerusi satu hantaran di InstaStory, Zacharevic telah memuat naik foto memaparkan sebuah pesawat dan lukisannya di badan pesawat tersebut, lapor Malay Mail.
AirAsia guna lukisan pelukis di Penang tanpa kebenaran
Pada hantaran yang sama, pelukis itu telah memetik akaun Instagram syarikat penerbangan tersebut dan pengasasnya, Tan Sri Tony Fernandes.
“Saya rasa kita perlu berbincang…..” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Zacharevic mendedahkan syarikat penerbangan tersebut tidak meminta kebenaran daripadanya untuk menggunakan lukisannya disamping berkata ini bukan kali pertama.
“Pertama kali saya nampak menerusi InstaStory kawan saya dan kemudian saya sendiri melihatnya di lapangan terbang pada Jumaat,” katanya.
Pelukis itu turut berkata dia tidak mahu mengambil tindakan undang-undang buat masa sekarang dan cuba untuk menyelesaikan perkara tersebut bersama AirAsia terlebih dahulu.
Bagaimanapun, pelukis itu turut berkata dia akan melakukan apa sahaja bagi menghentikan penggunaan lukisannya pada badan pesawat AirAsia tanpa kebenarannya.
“Saya berharap saya dapat selesaikan perkara ini bersama AirAsia dengan cepat. Tapi jika tiada maklum balas daripada syarikat itu, saya akan lakukan apa sahaja untuk menghentikan penggunaan lukisan saya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, syarikat korporat yang besar seperti AirAsia sepatutnya menunjukkan tanggungjawab korporat disamping turut menghormati hak artis serta harta intelek.
“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Sudah tiba masanya syarikat korporat besar seperti AirAsia menunjukkan tanggungjawab korporat dan menghormati hak artis serta harta intelek,” tegasnya.
Sementara itu, Zacharevic dan pasukannya juga sedang berusaha untuk menghubungi AirAsia untuk membincangkan isu tersebut namun mereka menghadapi kesukaran dengan pelbagai lapisan korporat yang perlu mereka lalui.
“Kami berharap AirAsia menghubungi saya melalui studio saya di ZACH Studio, [email protected] atau [email protected],” ujarnya.
Zacharevic turut menyatakan dia tidak pasti berapa banyak pesawat AirAsia yang mempunyai hasil seni lukisannya di badan, namun pelukis itu melihatnya buat kali pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 November lalu.
“Saya rasa mungkin ada beberapa lagi kapal lain yang gunakan lukisan saya,” ujarnya.
Sumber: Malay Mail, Malay Mail (Opalyn Mok)