Orang ramai diseru untuk berhati-hati dalam menganalisa fakta dan salah tafsir berhubung kes serangan jantung, stroke dan darah beku yang dikatakan berpunca daripada vaksin AstraZeneca (AZ).
Menerusi perkongsian di laman X, Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa kesan sampingan tersebut merupakan kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT ) yang hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga sebulan selepas menerima vaksin.
Difahamkan, meskipun laporan mengenai VITT telah diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun ia masih diperlukan memandangkan kadar kematian COVID-19 masyarakat yang tidak vaksin dan stok vaksin tidak mencukupi pada waktu itu.
“Golongan berisiko tinggi adalah golongan yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini. Golongan berisiko ini tidak dibenarkan menerima vaksin jenis Astra Zeneca.
“KKM juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini, dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku AEFI,” katanya menerusi hantaran di akaun X rasminya pada hari ini.
Foto: Kosmo! Online
Beliau berkata, risiko kesan sampingan VITT akibat vaksin adalah sangat rendah memandangkan ia hanya melibatkan empat kes dalam satu juta suntikan berbanding risiko darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) dan platelet rendah akibat jangkitan COVID-19 yang mencapai 165,000 kes dalam satu juta jangkitan.
“Insiden darah beku di kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1800 kes dalam 1 juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini.
“Serangan jantung, stroke dan masalah pembekuan darah yang masih lagi berlaku kini tiada kaitan dengan vaksin kerana tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin ini kebelakangan ini. Vaksin AZ juga tidak digunakan untuk dos penggalak (Booster dose),” ujarnya.
Selain menyatakan bahawa kes-kes yang masih berlaku adalah disebabkan faktor merokok, kolestrol dan kencing manis, beliau turut menyeru orang ramai untuk membezakan kesan samping (VITT) dengan masalah pembekuan darah yang lain.
Foto: Reuters
Tambahnya, bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat, orang ramai perlu berhati-hati dalam menganalisa fakta serta mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan terlebih dahulu sebelum membuat diagnosa melalui mata kasar semata-mata.
Sumber: X @DGHisham