Seorang jururawat yang tular baru-baru dilaporkan tak sempat ‘ganti pakaian’ yang sesuai untuk membuat lawatan ke sebuah rumah pesakit terletak di kawasan pedalaman Sabah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, jururawat masyarakat dari Klinik Desa Mandurian, Pitas itu sedang dalam perjalanan menyeberangi sungai ke Kampung Mangkabusu.
Difahamkan, jururawat berkenaan membuat lawatan dan menjalankan pemeriksaan serta rawatan lanjut ke atas pesakit yang bersalin.
Jelasnya lagi, jururawat berkenaan tak sempat pulang ke rumah untuk ganti pakaian kerana jarak rumahnya adalah 100 kilometer.
“Jururawat masyarakat berkenaan tidak sempat balik ke rumah untuk menukar pakaian yang sesuai contohnya memakai seluar gelap apabila menjalankan tugas di lapangan.
“Ini kerana jarak di antara Kampung Mangkabusu dengan rumah jururawat masyarakat berkenaan adalah 100 kilometer sedangkan jururawat masyarakat perlu memberi perkhidmatan kesihatan yang segera kepada pesakit berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, baru-baru ini.
Artikel lain: Berita Palsu, KKM Nafi Jururawat Akan Disuntik Vaksin Virus X
Bagaimanapun, katanya jururawat masyarakat berkenaan sudah membersihkan kotoran yang terkena pakaian seragamnya sebelum memberi rawatan kepada pesakit.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan kegigihan seorang jururawat masyarakat di daerah Pitas menaiki perahu kecil ke rumah pesakit yang dianggarkan kira-kira 200 kilometer.
Berdasarkan klip video itu, jururawat terbabit bersama seorang rakan setugasnya menaiki perahu kecil dengan berpakaian seragam putih yang dikotori lumpur dan kelihatan bimbang sepanjang menaiki pengangkutan sungai itu.
Mengulas lanjut, berdasarkan pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh Julai 2014, jururawat yang menjalankan tugas di lapangan dibenarkan memakai seluar berwarna biru gelap.
“JKNS akan menyemak dan menambah baik prosedur kerja kakitangannya, terutama yang terbabit dalam tugas lawatan ke rumah pesakit, termasuk berkaitan peralatan logistik yang digunakan petugas kesihatan ketika menjalankan tugas di lapangan.
“Jabatan Kesihatan menghargai pengorbanan dan dedikasi warga kerjanya terutama jururawat masyarakat yang bertugas di pedalaman Sabah dalam menjalankan tugas perawatan kepada rakyat meskipun berdepan cabaran besar seperti isu logistik dan geografi,”katanya.
Sumber: Harian Metro (Izwan Abdullah)