Sebuah perkongsian menyentuh hati seorang pengguna Facebook, Che Ainun Nasihah Ismail mengenai abangnya yang baru sahaja bergelar guru pada usia 37 tahun kini menjadi tular, menarik perhatian ramai warganet.
Kisah itu bukan sahaja tentang kejayaan, tetapi juga perjalanan hidup yang penuh cabaran dan ketabahan, menjadikannya inspirasi bagi ramai orang.
OKU ‘slow learner’ akhirnya bergelar guru
Ainun menceritakan bahawa abangnya dilahirkan secara songsang, menyebabkan beberapa masalah perkembangan. Semasa kecil, dia dianggap seorang “slow learner”, gagap teruk, dan sering hilang dalam dunianya sendiri.
Malah, dia turut menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sekolah walaupun bapa mereka sendiri bekerja sebagai guru di sekolah yang sama.
“Dia bukan tak cuba… dia cuma perlahan. Tapi perlahan itu pun dia teruskan juga, walaupun dunia tak pernah tunggu dia,” tulis Ainun baru-baru ini.
Kata-kata itu menjadi pengingat bahawa setiap orang mempunyai perjalanan sendiri, dan keberanian untuk terus cuba adalah kunci utama.
Perjalanan akademik abangnya penuh liku. Dia mengambil sepuluh kali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah memberitahu ibu mereka bahawa ia mungkin percubaan terakhir.
“Mak… ini mungkin percubaan terakhir. Kalau gagal lagi, saya tak tahu nak buat apa,” kata abangnya yang dikenali sebagai Ed.
Namun semangatnya tidak pernah padam. Selepas SPM, dia terus berjuang dengan dua percubaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), berjaya menamatkan pengajian ijazah dan seterusnya melanjutkan Diploma Lepasan Ijazah (DPLI) untuk menjadi seorang pendidik.
Artikel lain: STPM Setanding Program Antarabangsa, Wajar Jadi Pilihan Lepasan SPM – Fadhlina
Sepanjang tempoh itu, abang Ainun juga melakukan pelbagai kerja untuk menampung diri sendiri dengan menjadi pengawal keselamatan di hospital, menjaga sekolah dan rumah orang tua, malah turut membantu ayah mereka di sawah padi.
“Dia tak pernah malu buat kerja susah. Dia cuma takut kalau berhenti mencuba,” tulis Ainun lagi, menggambarkan kesungguhan yang jarang dilihat.
Sementara itu, Ainun turut berkongsi detik paling menyentuh hati mengenai abangnya selepas sesi temu duga dimana panel temu duga bertanya tentang kad Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran.
Tanpa berselindung, Ed menjawab dengan jujur bahawa kad itu ada kerana kekurangan yang dimilikinya malah sebaik keluar dari bilik temu duga, dia terus mencari ibunya dan menangis.
Ainun menjelaskan bahawa tangisan itu bukan kerana sedih, tetapi kerana rasa lega dan syukur selepas melalui perjalanan panjang yang penuh cabaran.
“Dia peluk mak dan menangis. Bukan sebab sedih… tapi sebab akhirnya dia rasa dia dah hampir menang,” tulis Ainun.
Pada masa yang sama, Ainun menggambarkan abangnya seperti watak Forrest Gump, tetap menjadi dirinya sendiri, tetapi mampu mencipta sejarah melalui ketabahan dan kerja keras.
“Dia tetap abang yang sama. Tapi perjalanan dia yang berbeza. Forrest Gump pun tetap Forrest Gump… cuma dia lalu jalan yang orang lain tak sanggup lalu.
“Orang boleh tolong, tapi kalau dia sendiri tak buka pintu, kita tak boleh masuk. Abang saya buka pintu itu sendiri,
“Semoga perjalanan baru ini jadi rumah baharu untuk dia. Kami akan ada untuk dia, selagi dia terus ada untuk dirinya sendiri… seperti mana dia dah buktikan sejak kecil. All the best Ed. Kijo molek,” kongsinya.
Sumber: Facebook Che Ainun Nasihah Ismail







































