Seorang lelaki yang baru enam bulan melayari bahtera perkahwinan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya menggunakan kerusi, dipercayai akibat cemburu.
Penjual burger mengaku tidak bersalah
Menurut laporan Buletin TV3, tertuduh Muhammad Hamirullah Hadi Mohd Hamidi, 28, yang bekerja sebagai penjual burger mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Foto: Berita Harian
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 28 tahun menggunakan kerusi meja solek dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Taman Damai, Sungai Abong, kira-kira jam 8.30 pagi pada 20 Jun lalu.
Artikel lain:Tegur Remaja Bawa Motosikal Laju, Warga Emas Maut Dipukul Dengan Cota Besi
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.
Sumber memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu tertuduh terhadap isterinya yang bekerja di sebuah kafe.
Dalam keadaan marah, tertuduh dikatakan mengambil kerusi meja solek lalu memukul mangsa hingga menyebabkan kecederaan pada muka, badan dan tangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Fatimah Zahrah Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan beberapa syarat tambahan, termasuk perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Julai depan bagi tujuan serahan dokumen dan pelantikan peguam secara rasmi.
Sumber: Buletin TV3
