Seorang elaki warga Singapura, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, dijatuhkan hukuman 72 tahun penjara dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Melaka hari ini selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak lelaki tirinya secara kejam, enam tahun lalu.
Penggal isteri, kerat anak tiri
Menurut laporan Kosmo! Online, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, termasuk faktor pemberat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta keterangan impak daripada ahli keluarga mangsa iaitu ibu, adik dan kakak mereka.
Dalam penghakimannya, beliau menyatakan laporan patologi bersama keterangan sepupu tertuduh jelas menunjukkan usaha tertuduh untuk menghapuskan bukti dengan mengerat tubuh kedua-dua mangsa sebelum membuangnya di beberapa lokasi berasingan bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti.

Foto: Kosmo! Online
Tambahnya lagi, mahkamah turut mengambil kira perbuatan kejam tertuduh yang meletakkan kepala mangsa di atas siling bagi mengelakkan bau dikesan, selain membuang sebahagian tubuh lain di kawasan semak.
“Tidak diragui bahawa perbuatan tertuduh adalah sangat brutal apabila meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah. Namun, pindaan hukuman mati telah dibuat oleh pihak kerajaan pada 2023 dan saya menyifatkan situasi ‘nyawa dibalas nyawa’ tidak memberi justifikasi pada kes ini.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan serta bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan agar kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh ditangkap 11 Oktober 2019,” katanya.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi, merayu agar hukuman diringankan dengan alasan anak guam mereka telah insaf, malah pernah tampil membuat pengakuan mengenai pembunuhan itu kepada keluarganya di Singapura sebelum ditahan pihak berkuasa.
Sementara itu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan mengemukakan tiga rujukan kes sebagai hujah pemberat, termasuk keputusan Mahkamah Tinggi Melaka pada 2015 yang mensabitkan hukuman gantung sampai mati.
Artikel lain: Lelaki Bunuh Ibu Bapa Dipenjara 40 Tahun, 24 Sebatan
“Mahkamah Tinggi Melaka telah menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh yang didapati bersalah membunuh anak tirinya berusia enam tahun dengan lebih 70 kesan kecederaan dan rayuan pada peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman itu.
“Mengambil kira keseriusan pertuduhan, faktor kepentingan awam, mangsa yang salah seorangnya adalah kanak-kanak berusia 11 tahun dan tahap kekejaman pembunuhan (18 kesan kecederaan terhadap mangsa wanita dan empat pada kanak-kanak), pendakwaan memohon agar hukuman gantung sampai mati dikenakan.
“Namun, jika hukuman pemenjaraan diberikan pendakwaan memohon ia dijalankan berasingan kerana ia membabitkan dua mangsa,” ujarnya.
Berdasarkan dua pertuduhan, Shahrul Nizam didakwa menyebabkan kematian isterinya, Norfazera Bidin, 27, serta anak tirinya Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka Tengah.

Foto: Media sosial
Kejadian itu berlaku antara jam 6 petang, 6 Oktober 2019 hingga 7.30 pagi keesokan harinya.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh wajib dikenakan minimum 12 sebatan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo! Online (Diyanatul Atiqah Zakarya
