Penambahbaikan pasaran buruh dan penyelarasan gaji turut menjadi antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut laporan RTM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kadar gaji minimum akan diperluaskan kepada graduan serta pekerja separa mahir, termasuk lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tergolong dalam Kod Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) tahap 8 dan ke atas.
Menurut beliau, usaha ini bertujuan memastikan pekerja menerima gaji yang setimpal dengan kelulusan dan kemahiran mereka.
Kerajaan akan perluas gaji minimum
“Peranan Majlis Perundingan Gaji Negara juga akan diperkasa, manakala portal e-MASCO akan ditambah baik sebagai instrumen pemantauan kadar gaji yang lebih telus dan responsif.
“Pada masa sama, Kerajaan juga menggalakkan syarikat-syarikat besar menyediakan gaji kehidupan wajar seperti yang telah dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” katanya.
Anwar berkata, kerajaan komited untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan pekerja melalui pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja, yang menawarkan perlindungan insurans sosial secara menyeluruh termasuk di luar waktu bekerja.
Artikel lain: RMK13 Fokus Tingkat Pendapatan Negara & Rakyat, Selari Dengan Ekonomi MADANI
Kerajaan akan perluas gaji minimum
Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa penggiat industri gig tidak akan dipinggirkan daripada mendapat akses perlindungan sosial, dengan perundangan khusus bakal diperkenalkan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital.
Pada masa sama, kerajaan menyasarkan pengurangan jumlah pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus menjelang tahun 2030.
Bagi menyokong usaha ini, pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat akan diperluas, bagi menggalakkan majikan beralih kepada penggunaan teknologi automasi dan mekanisasi serta mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.
Sumber: Berita RTM
