Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui di dalam sebuah kolam berhampiran rumahnya di Simpang 4, Permatang Pelandok, pada Isnin.
Meninggal dunia dalam kolam
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu menyaksikan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, ahli keluarga sedang melakukan kerja-kerja mengemas rumah selepas satu majlis diadakan di kediaman tersebut sebelum menyedari kehilangan mangsa.
“Sasatan lanjut masih diteruskan termasuk menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu sekitar jam 9.24 malam.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kolam berkenaan dianggarkan sedalam 1.2 meter dan tidak dilengkapi sebarang ciri keselamatan seperti penghadang atau penutup.
“Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Artikel lain: Kanak-Kanak Maut Tercekik Biji Rambutan Ketika Makan Bersama Kakak
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan dan merupakan tanggungjawab bersama.
Ujarnya, ibu bapa serta penjaga perlu sentiasa memastikan kanak-kanak berada di bawah pengawasan rapi, terutama di kawasan berisiko seperti kolam, longkang, parit atau mana-mana kawasan air terbuka.
“Langkah pencegahan seperti pemasangan penghadang, penutup atau pagar keselamatan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” tambahnya lagi.
Sumber: Facebook Polis Daerah Hilir Perak







































