Rakyat Malaysia yang merancang bercuti ke selatan Thailand sempena cuti panjang Aidilfitri hujung minggu ini dinasihatkan menangguhkan perjalanan susulan isu kekurangan bekalan petrol dan diesel yang berlaku sejak dua hari lalu.
Memetik laporan daripada Harian Metro, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menyatakannasihat itu terutama kepada mereka yang ingin memandu ke lokasi popular seperti Hat Yai dan Songkhla.
“Jika tiada keperluan mendesak, sebaiknya tangguhkan perjalanan buat sementara waktu.
“Bagaimanapun, jika terpaksa juga ke sana, rakyat Malaysia perlu merancang perjalanan dengan teliti,” katanya ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun memaklumkan setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terkandas akibat situasi berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu bukan disebabkan kekurangan bekalan minyak, sebaliknya berpunca daripada pembelian panik dalam kalangan rakyat Thailand susulan krisis di Asia Barat.
“Keadaan ini menyebabkan banyak stesen minyak kehabisan bekalan, selain berlaku kesesakan panjang di hampir semua stesen minyak termasuk di selatan Thailand,” katanya.

Sekadar gambar hiasan
Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan perjalanan ke Thailand sehingga keadaan kembali stabil, selain memaklumkan terdapat had pembelian dikenakan di stesen minyak iaitu 500 baht bagi kenderaan dan 80 baht untuk motosikal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata gangguan bekalan minyak dijangka berlarutan kira-kira 10 hari bermula 16 Mac.
“Isu ini bukan saja menjejaskan rakyat Malaysia, malah turut memberi kesan kepada rakyat Thailand.
“Terdapat banyak stesen minyak yang ditutup sementara kerana kehabisan bekalan,” katanya.

Sekadar gambar hiasan
Artikel lain: Rakyat Jepun Luah Kesal, Minta Pelancong Malaysia Tampal Pelekat Di Stadium Sesuka Hati
Beliau turut menasihatkan mereka yang tetap ingin ke Thailand supaya mengisi penuh tangki sebelum masuk ke negara itu atau mengisi minyak pada waktu pagi sebagai alternatif.
Sumber: Harian Metro (Sharifah Mahsinah Abdullah)







































