Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal menganjurkan Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 pada 8 Februari di Astaka Taman Tasik Titiwangsa.
Sambutan berkenaan bertujuan menumpukan kepada usaha memperkukuh peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan Internet anak-anak serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber.
Ia juga menampilkan pelbagai program pendidikan keselamatan digital, termasuk pameran interaktif, pocket talk, serta aktiviti keluarga dan komuniti yang mesra semua peringkat umur.
HKI 2026 Bawa Isu Keselamatan Internet Ke Ruang Awam
Menurut Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya, HKI 2026 berbeza daripada program sebelum ini kerana MCMC akan membawa pasukan teknikal dan pakar untuk membantu pengunjung secara langsung menetapkan ciri keselamatan pada peranti, termasuk aplikasi kawalan ibu bapa.
“Kali ini agak berbeza. Kita sediakan pasukan teknikal untuk tunjuk cara tetapkan ciri keselamatan telefon dan aplikasi kawalan ibu bapa,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara – HKI 2026: Internet Selamat, Tanggungjawab Bersama terbitan Bernama TV.
Tambah beliau, kerjasama dengan penyedia platform digital seperti TikTok, Google, dan Facebook akan memudahkan pengunjung belajar menggunakan ciri kawalan secara terus.
Selain itu, agensi dan rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia dan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut membuka reruai bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa jenayah siber, kaedah penipuan terkini, dan langkah yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa.
Artikel lain: KPWKM Sokong Langkah MCMC Perkukuh Keselamatan Digital Kanak-Kanak
Tema HKI 2026, “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat”, menekankan penggunaan teknologi dan AI secara selamat, beretika, dan bertanggungjawab.
Program ini bertujuan mendidik masyarakat dengan pendekatan santai, mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian.
“Pada tahun lepas, fokus lebih kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, tetapi tahun ini kita luaskan kempen merangkumi komuniti dan belia,” tambah Bukhari.
Sambutan ini bukan sekadar acara rasmi, tetapi satu platform nasional untuk membentuk budaya penggunaan Internet yang selamat, sedar, dan bertanggungjawab di kalangan rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi MCMC atau platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan X.














































