Filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) melakar kejayaan luar biasa apabila dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia, meraih jumlah menakjubkan sebanyak RM55.1 juta.
Menurut laporan Buletin TV3, pencapaian ini bukan sahaja mengatasi semua filem animasi tempatan dan antarabangsa terdahulu, malah berjaya mengungguli kutipan filem-filem blockbuster Hollywood dan Asia yang ditayangkan sepanjang dua bulan kebelakangan ini.

Foto: Buletin TV3
Kejayaan ini dilihat sebagai manifestasi jelas terhadap sokongan luar biasa rakyat Malaysia terhadap karya animasi tempatan yang sarat dengan semangat, identiti dan nilai kebangsaan.
Artikel lain: Bukan Sekadar Animasi! Empat Hari Tayang, Ejen Ali The Movie 2 Kutip RM15.3 juta
Pengarah filem, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil usaha kolektif seluruh pasukan produksi serta sokongan padu peminat setia francais Ejen Ali.
“Saya amat menghargai dedikasi seluruh pasukan WAU Animation yang telah mencurahkan tenaga dan kreativiti tanpa henti dalam menjayakan filem ini.
“Terima kasih juga kepada rakan produksi kami, Primeworks Studios, yang memberikan sepenuh komitmen dalam mempromosikan filem ini, malah sentiasa tampil dengan idea-idea baharu yang segar dan berani demi memastikan EATM2 terus menjadi pilihan penonton.
“Dan sudah tentu, penghargaan tertinggi buat para peminat yang menjadi tulang belakang dan sumber semangat utama kami sejak hari pertama,” katanya.

Foto: Carian Google
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan tersebut.
“Kami harap para penonton akan terus menyokong EATM2 dan bantu kami untuk mencapai sasaran kutipan seterusnya iaitu RM60 juta. Hanya dengan sokongan teguh anda dapat kami realisasikan impian untuk menghasilkan naskhah Ejen Ali seterusnya, demi perkembangan industri kreatif tempatan yang bakal membanggakan Malaysia,” ujarnya.
Bermula sebagai siri animasi televisyen, Ejen Ali kini berkembang sebagai francais yang matang, penuh pengaruh dan menjadi kebanggaan negara.

Foto: nst.com
Filem keduanya bukan sekadar memperkukuh jenama, malah menampilkan evolusi penceritaan yang lebih berani, emosional dan menyentuh pelbagai lapisan penonton.
Ejen Ali The Movie 2 masih menemui penonton di pawagam seluruh negara, teruskan sokongan dan jadi sebahagian daripada sejarah ini.
Sumber: Buletin TV3
